Sabah FC fokus aksi pertama di Manjung
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 2 min read

3 Mac 2026
KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido menegaskan fokus pasukannya kini terarah sepenuhnya kepada aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup 2025/26 menentang Perak FA di Stadium MP Manjung, esok.
Menurutnya, walaupun beraksi di tempat lawan, pendekatan pasukan kekal sama iaitu mengambil langkah satu perlawanan demi satu perlawanan dalam usaha membentuk skuad yang lebih konsisten.
“Kita perlu teruskan proses membina pasukan yang konsisten. Fokus kita hanya kepada perlawanan seterusnya,” katanya.
Garrido mengakui jadual padat dan tempoh latihan yang terhad menjadi cabaran utama, namun memuji komitmen tinggi pemain dalam memastikan sasaran pasukan dapat dicapai.
“Kita menghadapi jadual yang sangat ketat dengan masa latihan yang singkat, tetapi pemain bekerja keras untuk mencapai objektif pasukan,” jelasnya.
Mengulas kekuatan lawan, beliau menyifatkan Perak sebagai pasukan yang teratur, kukuh dari segi taktikal serta berbahaya dalam situasi serangan balas.
“Berdasarkan analisis, mereka sangat tersusun dan solid secara taktikal. Mereka juga berbahaya apabila diberi ruang untuk bergerak pantas,” katanya.
Walaupun separuh akhir ini menggunakan format dua perlawanan, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan pendekatan taktikal tidak banyak berubah kerana keutamaan diberikan kepada aksi pertama di Manjung.
Ini adalah perlawanan kedua beliau membimbing Sabah selepas membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Super minggu lalu. Garrido menyatakan beliau berpuas hati dengan sikap serta keselarasan yang semakin terbentuk dalam pasukan.
“Saya gembira dengan sikap pemain. Kami berada pada haluan yang sama dan perlu mengekalkan momentum ini,” ujarnya.
Mengulas tekanan aksi separuh akhir, beliau menegaskan pengalaman dan kekuatan mental penting, namun semangat serta keinginan untuk berjaya lebih utama.
“Kelaparan untuk menang dan keinginan yang tinggi adalah kunci,” katanya.
Sabah menyasarkan persembahan konsisten pada aksi pertama sebelum kembali beraksi di laman sendiri bagi perlawanan kedua di Stadium Likas. Garrido turut berharap penyokong terus memberikan sokongan padu dalam misi memburu tiket ke final.











