Sabah FC terikat lagi
- nabalunews
- Feb 22
- 1 min read

22 Februari 2025
KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi terpaksa berkongsi mata selepas seri 1-1 dengan pasukan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, semalam.
Skuad Badak memulakan permainan dengan baik apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit keenam menerusi tandukan S Kumaahran.
Bagaimanapun, prestasi baik pasukan Sabah FC tidak berpanjangan apabila terpaksa bertahan dengan asakan bertali arus pasukan pelawat.

Selain itu, beberapa hantaran yang dibuat pemain Sabah FC turut tidak berhasil berikutan keadaan padang yang berair dan licin akibat hujan lebat sejak petang semalam.
Pasukan KL City FC cuba mengambil peluang terhadap keadaan itu dan terus mengasak pertahanan Sabah FC. Bagaimanapun, keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaik babak kedua bermula, dalam keadaan padang yang masih sama, permainan kedua-dua pasukan kelihatan seimbang.

Kedua-dua pasukan berjaya mencipta beberapa cubaan menarik, namun gagal menepati sasaran.
Pasukan pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerangnya, Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-80.
Kedudukan 1-1 itu membuatkan pasukan Sabah FC tertekan untuk mencari gol kedua dalam keadaan masa perlawanan hampir tamat.
Keputusan kekal hingga ke wisel penamat dan Sabah FC kekal di tangga ketiga dengan menggumpul 34 mata daripada 19 perlawanan.
Comments