Sabah hanya menuntut hak 40 peratus, bukan anti-persekutuan: Ewon
- nabalunews
- 38 minutes ago
- 1 min read

26 Nov 2025
KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa Sabah hanya menuntut hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak kurang, tidak lebih.
Penyandang kerusi N.11 Kadamaian itu berkata, adalah tidak tepat untuk melabelkan Sabah sebagai anti-persekutuan kerana Sabah dan Sarawak adalah rakan yang bersama-sama menubuhkan Persekutuan Malaysia.
“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada negara Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963.
“Persekutuan Malaysia ini hanya akan sempurna apabila hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak, sama seperti hak-hak istimewa negeri-negeri lain, dapat diberikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

“UPKO akan terus berjuang di hadapan mempertahankan hak 40 peratus yang menjadi syarat utama Sabah menyertai penubuhan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Program Jelajah Sabah First di Kadamaian, hari ini.
Ewon berkata, UPKO sentiasa tegas dalam mempertahankan maruah rakyat Sabah dan hak-hak negeri ini seperti yang dipersetujui dalam MA63 dan perlembagaan, khususnya syarat utama berhubung tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan.
“Hak itu ialah pulangan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dan ia mesti dibayar segera kepada rakyat Sabah.
“Kita hanya mahu hak kita dihormati,” katanya.


















Comments