Sabah kutip RM2.458 bilion cukai jualan produk petroleum sejak April 2020
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah kutip RM2.458 bilion cukai jualan produk petroleum sejak April 2020



19 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah keseluruhan pungutan cukai jualan produk petroleum sejak ianya dilaksanakan pada 1 April 2020 sehingga 30 Jun 2022 adalah sebanyak RM2.458 bilion, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Masidi Manjun


Beliau berkata, bagi tahun ini, sejumlah RM1.1 bilion telah dianggarkan sebagai hasil cukai jualan produk petroleum.


“Setakat 30 Jun 2022, Kerajaan Negeri telah mengutip RM808 juta atau 73 peratus daripada anggaran tersebut,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah tindakan yang diambil bagi menuntut Cukai Jualan Negeri dibawah State Sales Tax Enactment 1998 bagi sektor minyak dan gas dan berapakah jumlah cukai jualan yang dianggarkan diterima oleh kerajaan.


Masidi berkata, dalam usaha Kerajaan Negeri memperluaskan sumber dan meningkatkan hasil negeri, dua lagi produk petroleum akan dikenakan cukai jualan negeri bermula 1 Ogos 2022.


“Produk tersebut adalah ammonia dan urea yang dianggarkan akan menyumbang sejumlah RM46 juta ke atas hasil negeri pada tahun ini,” katanya.


Katanya lagi, kerajaann negeri sentiasa memastikan kutipan hasil negeri bukan sahaja kukuh tetapi juga dioptimumkan untuk menyumbang ke arah pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.


“Oleh itu, Kerajaan memandang serius bukan sahaja ke atas pungutan cukai jualan produk petroleum tetapi juga ke atas semua jenis produk yang dikenakan cukai jualan negeri.


“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menerusi semua hak perlembagaan dan perundangan untuk mendapatkan semula Cukai Jualan Negeri yang terhutang dan tertunggak, jika ada, demi untuk menjaga kedaulatan negeri ini,” katanya.


Masidi menjelaskan, Kerajaan Negeri, pada 1 April 2020 mula melaksanakan cukai jualan negeri ke atas produk petroleum iaitu minyak mentah petroleum dan gas asli (termasuk gas asli cecair) pada kadar 5 peratus melalui Perintah Cukai Jualan Negeri (Kadar Cukai) 2018.


Katanya, selaras dengan seksyen 10 (1) Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, setiap orang yang menjalankan perniagaan menjual atau membekalkan produk-produk yang dikenakan cukai hendaklah memohon lesen cukai jualan negeri kepada Pengarah Cukai Jualan Negeri.


“Justeru, sehingga kini, sejumlah 13 syarikat minyak dan gas telah berdaftar dan diberikan lesen cukai jualan negeri,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan seksyen 14 Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, pemegang lesen cukai hendaklah mengemukakan penyata taksiran iaitu Borang 4 bersama bayaran cukai dalam tempoh 28 hari daripada tempoh yang kena dibayar cukai. Sebagai contoh: untuk tempoh yang kena dibayar cukai bagi bulan Jun, Borang 4 hendaklah diisi lengkap dan dikemukakan bersama-sama bayaran sebelum atau pada 28hb Julai.


“Menerusi peruntukan-peruntukan di bawah Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998, Kerajaan Negeri berhak mengambil tindakan bagi menuntut cukai yang tidak dibayar oleh syarikat pembayar cukai,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page