Sabah luluskan tambahan 77 guru di SMAN, SAN
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

27 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meluluskan penambahan 77 jawatan guru bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) serta Sekolah Agama Negeri (SAN) pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir berkata, kelulusan itu merupakan sebahagian daripada perancangan berterusan kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar yang semakin meningkat.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengemukakan permohonan tambahan jawatan guru dari semasa ke semasa bagi pertimbangan kerajaan negeri.
“Kelulusan 77 jawatan guru ini telah diperoleh dan kita akan mengemukakan beberapa lagi permohonan pada masa akan datang.
“Beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) bagi membuka lebih banyak peluang penambahan tenaga pengajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi temu bual di Sabah FM, di sini pada Khamis.
Menurut Awang Juri, keperluan guru agama semakin meningkat susulan pertambahan sekolah agama negeri di beberapa daerah bagi memenuhi permintaan masyarakat setempat.
Katanya, setiap pembukaan sekolah baharu perlu diseimbangkan dengan penambahan guru bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
“JHEAINS akan terus memberi tumpuan untuk memastikan keseimbangan antara pembukaan sekolah baharu dan penambahan guru, sekali gus menjamin kelangsungan serta kualiti pendidikan di SAN di seluruh Sabah,” katanya.















Comments