Sabah perlu tingkatkan hasil padi - ADUN Kuamut

10 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
TONGOD: Sabah masih bergantung kepada beras import walaupun menyambut Pesta Kaamatan setiap tahun sebagai upacara kesyukuran hasil tuaian padi.
Ini ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah yang menggesa Kerajaan negeri merangka garis panduan bagi menjenamakan semula industri padi di Sabah.
Beliau berkata, sudah tiba masanya sambutan Pesta Kaamatan diberi nafas baharu dengan ikrar untuk meningkatkan hasil tanaman padi secara bersepadu.
"Jika tiada langkah bersepadu, sampai bilapun kita hanya berbangga menyambut Kaamatan sekadar sebagai pesta tahunan untuk melengkapkan kalender pelancongan," katanya semasa merasmikan Pesta Kaamatan Zon Tongod di Mini Dewan Kampung Talibu, baru-baru ini.
Tambah beliau, Pesta Kaamatan kini sudah dimodenkan di mana upacara kesyukuran 'ritual' semangat padi sekadar berlegar di atas pentas dan jarang sekali dijadikan asas di jelapang padi.
Masiung berkata, masyarakat Sabah perlu kembali ke zaman lampau bergotong-royong menanam dan menuai padi kerana usaha itu dapat menjana ekonomi sekaligus dapat membentuk semangat perpaduan di kalangan penduduk.
"Harus diingat Wilayah Sabah kini hanya bergantung sepenuhnya kepada beras import dari Thailand, Vietnam dan Cambodia. Apa akan jadi kepada rakyat Sabah jika tiba-tiba negara berkenaan menghentikan bekalan beras kerana faktor fenomena global?" tanya beliau.
Beliau berkata, dalam keseronokan menyambut Kaamatan, Kerajaan wajar memikirkan supaya perayaan itu diberi nafas baharu ke arah mewujudkan industri berasaskan padi.
Comments