Sabah Rancang Pasang Solar di Bangunan Kerajaan, Papan Iklan Digital di Lokasi Strategik

24 Sept 2026
KOTA KINABALU: Sabah merancang memasang sistem solar di bangunan kerajaan dan papan iklan digital di lokasi strategik di seluruh negeri, dengan pelaksanaan inisiatif itu dijangka bermula Oktober ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata pemasangan papan iklan digital akan dilaksanakan melalui kerjasama kementeriannya dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, kemudahan itu dapat mempercepat penyampaian maklumat kepada masyarakat, selain berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada PBT.
“Papan iklan digital ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat yang lebih pantas dan berkesan, malah berpotensi memberikan sumber pendapatan tambahan kepada PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan televisyen pintar (Smart TV) dan pembentangan inisiatif berkenaan di bangunan kementeriannya, di sini, pada Rabu.
James berkata, lokasi dan jumlah papan iklan digital akan ditentukan bersama KKTP dan PBT dengan memberi tumpuan kepada kawasan strategik.
Mengenai sistem solar, beliau berkata pemasangannya bertujuan mengurangkan penggunaan elektrik dan kos operasi kerajaan, dengan sasaran pengurangan penggunaan elektrik sekitar 10 peratus.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu bergantung kepada persetujuan bangunan atau agensi kerajaan yang ingin menyertainya.
“Sebanyak 24 perpustakaan di bawah kementerian saya turut dikenal pasti untuk dipertimbangkan bagi pemasangan sistem solar,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga berpotensi membuka peluang latihan dan pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk dalam bidang penyelenggaraan papan iklan digital.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menyambut baik penyerahan Smart TV kepada KKTP dan PBT.
Beliau berkata, kemudahan itu dapat membantu meningkatkan penyampaian maklumat dan kecekapan tugasan di peringkat kementerian serta PBT.
“Cadangan pemasangan papan iklan digital dan sistem solar akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat kementerian dan PBT sebelum dilaksanakan.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat,” katanya.















Comments