Sabah, Sarawak boleh jadi ‘kingmaker’ tentukan Kerajaan Persekutuan: Ewon
- nabalunews
- Aug 10
- 2 min read

10 Ogos 2026
PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan termasuk siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana kewujudan Persekutuan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada kedua-dua wilayah berkenaan.
“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini, dan boleh menjadi kingmaker sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, hari ini.
Ewon berkata, peranan kedua-dua wilayah itu tidak seharusnya diperkecilkan.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak, justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata UPKO turut membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk memperkukuh struktur parti serta menggalakkan ahli yang berhasrat bertanding supaya memperhebatkan kerja di lapangan.
Beliau berkata, bagi pembahagian kerusi, UPKO akan berunding dengan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.
“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.
“Manakala perkara selebihnya itu, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta rakan-rakan dalam GRS.















SABAH & SARAWAK BOLEH JADI “KINGMAKER” DALAM MENENTUKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan yang semakin penting dalam menentukan pembentukan serta kestabilan Kerajaan Persekutuan.
Siapa pun gabungan politik yang diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan negara, sokongan daripada Sabah dan Sarawak sewajarnya berasaskan jaminan yang jelas dan komitmen yang tegas terhadap pelaksanaan sepenuhnya hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Bagi Sabah, antara perkara utama yang mesti diberikan perhatian serius ialah hak berkaitan pemberian khas 40% hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah, sebagaimana diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Sabah dan Sarawak bukan sekadar penyumbang kerusi untuk membentuk kerajaan di Putrajaya. Suara dan sokongan politik Borneo harus diterjemahkan kepada penghormatan terhadap hak, pembangunan yang…