top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah Sarawak hanya diberi pinjaman, Madius persoal kriteria agihan peruntukan Rancangan Bekalan Air


16 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran (PH) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta kerajaan menjelaskan kriteria yang dipertimbangkan untuk menentukan jenis peruntukan terhadap sesebuah wilayah atau negeri berhubung hal rancangan bekalan air.


Menurutnya, ia kerana pada Maksud Pembangunan 23 - Butiran 28000 Rancangan Bekalan Air Wilayah Sabah menyatakan sebanyak RM159,958,000 diperuntukan dalam bentuk pinjaman.


Begitu juga Wilayah Sarawak, hanya pinjaman yang diberikan berjumlah RM140,792,300. Tidak ada peruntukan dalam bentuk geran yang dinyatakan.


“Sebaliknya semua negeri telah diperuntukan berbentuk geran iaitu untuk Johor sebanyak RM84,059,000; Kedah - RM102,000,000 (geran) dan RM45,000,000 (pinjaman); Melaka -RM53,050,000 (geran); Kelantan RM8,100,00 (geran) dan RM2,147,000 (pinjaman); dan Negeri Sembilan RM22,963,900 (geran).


“Negeri-negeri lain iaitu Pahang juga menerima geran secara sebanyak RM20,200,000 dan pinjaman RM25,320,000; Perak RM450,000; Terengganu RM8,100,000 (pinjaman), Labuan  RM38,723,100 (geran) dan Perlis dengan RM129,200 peruntukan dalam bentuk geran manakala RM18 juta ialah pinjaman,” katanya.


Madius berkata demikian dalam ucapan Perbahasan Bajet 2023 Peringkat Jawatankuasa  Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di sini, pada Khamis.

  

Beliau turut mempersoalkan bagaimana peruntukan dalam bentuk pinjaman itu disenaraikan sebagai Peruntukan Pembangunan Persekutuan.


“Sedangkan setelah dipinjam oleh negeri, duit itu sudah menjadi hak dan wang negeri? 


“Tuaran juga ingin tahu selain daripada memberi pinjaman kewangan kepada kerajaan Sabah, apakah lagi peranan Kerajaan Persekutuan untuk membangun bekalan air bersih?


“Khususnya untuk mengatasi masalah seperti perolehan membeli lori-lori tangki untuk menghantar air di tempat bekalan air terputus; menaiktaraf perpaipan yang uzur; membina atau menaiktaraf pam penggalak; mengurangkan kadar Air Tidak berhasil (NRW) dan sebagainya.”


Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut berkongsi keperitan rakyat Tuaran ekoran masalah bekalan air yang dihadapi.


“Bayangkan keadaan pada ketika bekalan air terputus dan ada kematian atau perlu mengadakan kenduri arwah? Sebenarnya inilah yang sedang berlaku di kawasan Parlimen Tuaran pada masa ini. 


“Lebih 100 kampung dan Taman Perumahan yang terkesan dengan bekalan air terputus. Saya berharap Kerajaan Persekutuan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu Kerajaan Sabah mengatasi pelbagai masalah bekalan air bersih di Sabah yang sudah sekian lama berlarutan. 


“Saya sedar hal air ini adalah tersenarai dalam senarai kuasa Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun kalau Kerajaan Persekutuan boleh beri peruntukan secara langsung kepada negeri-negeri di Semenanjung, sepatutnya peruntukan yang sama juga boleh diberi kepada Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak,” tegasnya 

Yorumlar


bottom of page