top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sambutan Hari Malaysia harus diperluas di peringkat sekolah seluruh negara - Ewon

16 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Sambutan Hari Malaysia harus diperluaskan di peringkat sekolah seluruh negara bagi memupuk semangat dan rasa hormat warga Malaysia terhadap sambutan itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, ia juga penting bagi menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan Hari Malaysia sama seperti sambutan Hari Kebangsaan.


“Selain memperluaskan sambutan Hari Malaysia di peringkat sakolah, penonjolan Perjanjian Malaysia dan penubuhan Persekutuan Malaysia dalam subjek Sejarah juga perlu bagi memupuk semangat Malaysia yang sebenarnya.


“Dalam konteks Sabah, sebagai Presiden, saya dan Parti UPKO akan terus memainkan peranan signifikan dalam menjayakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia iaitu asas penubuhan negara ini.


“Ini termasuklah cadangan kita supaya subjek mata pelajaran Sejarah ditambah baik untuk menonjolkan lebih banyak pengisian atau kandungan berkaitan Perjanjian Malaysia dan sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini, sempena Sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Kuching Sarawak.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, dalam tempoh 60 tahun penubuhan Malaysia, negara ini mencapai banyak kejayaan dalam pelbagai sektor.


“Tetapi kita juga mengakui masih banyak isu dan cabaran yang perlu kita tangani termasuklah pembangunan ekonomi dan infrastruktur.


“Pembangunan ini banyak bergantung kepada sejauh mana kita berupaya bersatu padu, saling hormat menghormati dan bekerjasama diantara satu sama lain sebagai warganegara Malaysia.


“Justeru selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya berharap kesatuan kaum, kerjasama dan keharmonian dapat terus diperkasakan supaya masa depan negara Malaysia akan lebih progresif,” katanya.

Comments


bottom of page