Satu PKK akan disediakan di setiap negeri berisiko banjir: Ahmad Zahid
8 Disember 2024
SUNGAI BESAR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu pusat pemindahan kekal (PPK) akan dibina di setiap negeri yang berisiko tinggi banjir, bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada sekolah-sekolah yang kini digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika bencana alam itu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata langkah itu juga dilaksanakan berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi di sekolah yang dijadikan PPS selepas bencana berlaku.
"Kita mendapati kos menyelenggara semula sekolah yang dijadikan PPS sangat tinggi, terutama apabila kelas-kelas perlu dibaik pulih. Lebih membebankan, ada sekolah yang tidak memiliki dewan serbaguna," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JLB) di sini, hari ini, lapor Bernama.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus dalam laporan media sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan bercadang membina sembilan PPK yang lengkap dengan kemudahan asas yang selesa di seluruh negara untuk kegunaan mangsa banjir.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebanyak 32 jambatan Bailey sedang disiapkan untuk diaturgerak ke lokasi terjejas banjir di seluruh negara.
Beliau berkata ketika ini Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melaksanakan tindakan kejuruteraaan dan proses ujian tanah di tujuh lokasi yang dikenal pasti.
"Jambatan Bailey ini akan digerakkan ke kawasan yang mengalami kerosakan serius, seperti jambatan atau jalan runtuh yang tidak boleh dilalui. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada JKR dan Kor Jurutera ATM atas kerjasama yang diberikan," katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan dua jambatan Bailey telah mula dipasang di Kelantan, iaitu di Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Comments