Saya akan beri tumpuan besar kepada penskalaan PMKS Sabah bermula tahun 2026 – Ewon
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

11 Disember 2025
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, berkata, penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah akan menjadi antara agenda utama kementeriannya bermula tahun 2026.
Beliau berkata, ini adalah antara usaha ke arah meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau akan memperkenalkan inisiatif-inisiaitf baharu bagi kementerian itu pada tahun hadapan selain inisiatif baharu dalam Belanjawan Negeri 2026 yang akan dibentangkan esok.
“Saya akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu di kementerian yang boleh dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) terutama bagi meningkatkan skala perusahaan usahawan PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke DIDR dan menerima taklimat daripada Pengarah DIDR, Siti Nur’Ain Abdullah, hari ini.
Ewon berkata, data pembangunan usahawan di Sabah juga perlu diselaraskan kerana ketika ini hanya 8,000 lebih usahawan berdaftar sebagai ahli DIDR. Jumlah pemilik perniagaan di Sabah dianggarkan melebihi 100,000 berdasarkan rekod lesen perniagaan.
“Sebelum ini, semasa saya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), lebih 53,000 usahawan PMKS Sabah menerima bantuan pada tahun lalu. Semua data ini mesti diselaraskan supaya perancangan penskalaan PMKS dapat dilaksanakan dengan lebih terarah
“Sebab itu, saya menjadikan program penskalaan PMKS ini antara agenda besar saya di kementerian kerana dengan menskalakan mereka sudah tentu akan memerlukan tenaga pekerja yang baru ertinya kita boleh mencapai wawasan kita untuk meningkatkan pendaptan rakyat,” katanya.

Ewon berkata, kunjungan ke setiap jabatan dan agensi di bawah kementeriannya akan diteruskan.
“Saya akan mengunjungi SOGIP pada Sabtu ini dan selepas itu di Jabatan Pelabuhan dan Dermaga.
“Lawatan saya ke DIDR hari ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungan ke semua jabatan dan agensi di bawah kementerian saya.
“Selepas saya memahami hala tuju dan peranan sedia ada semua agensi dan kementerian ini baru saya akan memperkenalkan inisiatif terutama yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan,” katanya.
Sebagai contoh, Ewon berkata, kira-kira 80 peratus lot di Sabah Agro Industrial Park (SAIP) iaitu pusat perusahaan di Papar masih belum mempunyai operasi ketika ini.
“Ini perlu dicari satu pakej promosi untuk membolehkan usahawan memilih SAIP sebagai satu perusahaan mereka,” katanya.
Ewon berkata, beberapa hari lalu beliau telah mengadakan perbincangan dengan Bank Rakyat bagi meneroka kerjasama pemasaran dan sokongan kewangan di kawasan-kawasan taman perindustrian di Sabah.
“Semua ini saya akan umumkan secara rasmi awal Februari tahun depan kerana saya tidak mahu mengumumkan sesuatu inisiatif tanpa melalui proses yang betul iaitu mendapatkan mandat dan persetujuan daripada kabinet negeri kerana setiap inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan,” katanya.

Katanya, wawasan Sabah First di kementeriannya adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat Sabah melalui pembangunan ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh.
“Sabah sering disebut sebagai negeri dengan banyak daerah termiskin. Jadi bagaimana kita membangunkan rakyat berpendapatan?
“Pertama, melalui pemilikan perniagaan, usahawan mikro, kecil, sederhana atau besar. Kedua, melalui peluang pekerjaan dalam perniagaan-perniagaan ini,” katanya.
Beliau berkata program penskalaan PMKS amat penting kerana apabila usahawan berkembang, ia mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata perkhidmatan kementerian dan agensi perlu berada pada tahap terbaik.
“Apabila saya mengatakan kementerian perlu memberi perkhidmatan cemerlang, saya mesti menjadi orang pertama yang memberikan contoh itu.
“Mudah-mudahan kita dapat membina satu pasukan Sabah First yang cemerlang,” katanya.


















Comments