Saya tidak setuju dengan Harris Salleh - Ewon
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

23 April 2026
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Haris Salleh berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil negeri.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, hak 40 peratus adalah antara syarat Sabah sama-sama menubuhkan persekutuan Malaysia bersama wilayah lain pada 1963.
“Saya telah membaca kenyataan mantan Ketua Menteri berkenaan yang menyatan adalah lebih baik untuk tidak ‘membubut’ pembayaran 40% sebaliknya mendesak kerajaan persekutuan untuk menaiktaraf pembangunan lain seperti sekolah, hospital, jalan raya dan sebagainya.
“Sebagai Presiden UPKO saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan tersebut kerana hak 40% merupakan satu perkara yang telah menjadi syarat penyertaan Sabah dalam perundingan penubuhan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh yang menyatakan Sabah lebih wajar mendesak Kerajaan Persekutuan menaik taraf sekolah, hospital dan jalan raya berbanding menuntut hak 40 peratus hasil cukai.
Ewon berkata, tanpa penerimaan kepada syarat tersebut Sabah tidak mungkin bersetuju menubuhkan Persekutuan Malaysia bersama-sama dengan wilayah lain pada 1963.
“Tanpa Sabah, tidak mungkin ada negara yang dipanggil ‘Malaysia’. Persetujuan itu juga termaktub dalam Perkara 112, Perlembagaan Persekutuan.
“Pembangunan ataupun tanggungjawab untuk membina kemudahan sekolah, hospital, lebuh raya dan banyak perkara lain sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Itu pun dalam Perlembagaan Persekutuan juga.
“Kita ada senarai Persekutuan, kita ada senarai negeri dan kita ada senarai bersama. Jadi ianya dua perkara yang berbeza.
“Hak 40% itu adalah tanggungjawab perlembagaan yang mesti dan sepatutnya dilaksanakan. Tanggungjawab untuk pembangunan di bawah senarai Persekutuan seperti pendidikan, kesihatan dan lebur raya, keselamatan dalam negeri dan keselamatan sempadan, itu tanggungjawab kerajaan persekutuan yang telah dipersetujui semasa penubuhan Malaysia,” katanya.
Ewon berkata, pendirian UPKO sangat jelas, selaras dengan pendekatan Kerajaan Sabah iaitu melalui pendekatan government to government yang akan terus menuntut pelaksanaan semula hak 40 peratus yang tertangguh sejak 1974.
“Kita juga menyokong apa juga pendekatan oleh rakyat Sabah, sama ada pendekatan melalui perundangan atau pendekatan melalui meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Sabah melalui dialog, penulisan akademik ataupun forum.
“UPKO menyokong semua pendekatan ke arah kesadaran pelaksanaan hak 40 peratus,” katanya.
Ewon berkata, sebagai Timbalan Ketua Menteri mewakili Parti UPKO, sudah tentu ada tanggungjawab di peringkat kerajaan Sabah untuk memastikan saluran ataupun pendekatan antara kerajaan itu dibuat.
“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga telah menyatakan pendirian tegas mengenai perkara ini,” katanya.
Ewon yakin isu ini akan menjadi antara topik utama yang dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bermula Isnin depan.















Comments