SEJARAH PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH UMAT KRISTIAN SEBELUM MALAYSIA DIBENTUKSEJARAH PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH UMAT KRISTIAN SEBELUM MALAYSIA DIBENTUK
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

SEJARAH PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH UMAT KRISTIAN SEBELUM MALAYSIA DIBENTUK


Faizal bercakap semasa sesi webinar yang dikendalikan oleh Wisdom Foundation, kelmarin.

25 Mac 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Penggunaan kalimah Allah di kalangan masyarakat Kristian di Nusantara telah wujud sejak berkurun-kurun sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia, kata Dr Faizal Musa.


Menurut Fellow Associate kepada Global Sh’ia Diaspora di Universiti Harvard itu, Kitab Kristian dan buku-buku didaktik yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu pada abad ke-17 menggunakan perkataan Allah yang bermaksud “Tuhan” dalam Bahasa Arab.



Buku-buku itu digunakan oleh seorang paderi berbangsa Portugis yang menggunakan Bahasa Melayu untuk menyebarkan ajaran agama Kristian kepada penduduk tempatan di Ambon, Maluku, di mana sekurang-kurangnya 48 naskah telah diedarkan ke 23 buah kampung Kristian di kawasan itu.


Menurut Faizal, jumlah itu dianggap banyak memandangkan ramai penduduk tempatan yang masih buta huruf ketika itu.


“Salah satu terjemahan Injil yang paling penting dan terkenal adalah Kitab Kejadian yang diterjemahkan oleh seorang paderi pada tahun 1622. Beliau tiba di Batavia (kini dikenali sebagai Jakarta) pada 6 Julai 1651.


“Bagaimanapun, terjemahan asalnya tidak dapat dijumpai lagi tetapi edisi terjemahan yang kemudiannya diterbitkan pada tahun 1697,” katanya ketika sesi webinar yang disiar secara langusng di laman Facebook Wisdom Foundation, kelmarin.



Sesi webinar yang bertajuk "Kalimah Allah: Perspektif Muslim Borneo, Bahasa Malaysia dan islam Sejagat" itu dikendalikan oleh ketua pegawai operasi Wisdom Foundation Zila Fawzi.


Antara panelis-panelis yang membuat perkongsian semasa sesi itu adalah Uztaz Wan Ji Wan Hussin (Pengasas Pusat Pengajian Maqasid Quran), Datin Fazar Arif (Pengasas Pergerakan Orang Wanita – Empowerment and Revolution), dan Haji Amde Sidik (Pengasas Progressive Institute of Public Policy).


Semasa sesi itu, Faizal memetik sembilan rangkap dari Kitab Kejadian edisi 1967 itu di mana perkataan Allah digunakan beberapa kali.


“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana di Melaka, pada tahun 1678, komuniti Kristian di kalangan orang tempatan kacukan Portugis sudah wujud dan mereka dikenali sebagai ‘Black Christians’. Mereka bertutur sesama orang-orang Melayu, Ceylon, Jawa dan Bugis dalam Bahasa Melayu.


“Sebelum zaman itu, seorang mubaligh Katolik Santo Francis Xavier pernah melawat Melaka sebanyak lima kali, dan beliau telah mengarahkan penterjemahan 10 Perintah Allah dalam Bahasa Melayu sebagai usaha untuk membantu orang Kristian tempatan yang samada diabaikan atau masih mengamalkan kepercayaan paganisme (semasa tahun 1540-an),” jelasnya.



Beliau turut menyebut tentang satu peristiwa sejarah semasa Pulau Pinang ditadbir oleh orang Inggeris sekitar tahun 1786 hingga 1941, di mana terdapat seramai 708 orang beragama Kristian yang berbangsa Melayu, kebanyakkanya Katolik, pada tahun 1833.


“Pada zaman pentadbiran Inggeris tahun 1843, mubaligh Benjamin Peach Keasberry telah mendirikan sebuah chapel Melayu di Prinsep Street. Sebahagian daripada penduduk di situ merupakan peranakan Cina yang hanya tahu bertutur dalam Bahasa Melayu. Bahkan orang Inggeris pada ketika itu juga bertutur dalam Bahasa Melayu.


“Sementara itu, di Borneo Sarawak, seorang paderi berbangsa Eurasia-Ceylone telah menterjemahkan buku doa Kristian ke Bahasa Melayu dan Iban. Kesimpulannya, agama Kristian bukanlah agama yang baru wujud di sini. Ia telah wujud sejak lama dahulu,” katanya.


Menurut Faizal, sehingga hari ini, beliau belum pernah menemukan kajian mengenai persepsi kalimah Allah yang menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Kristian.


“Sebenarnya ada peristiwa bersejarah yang tidak semua orang tahu di mana seorang Sultan Johor yang merupakan Ketua kepada agama Islam dihormati oleh institusi gereja. Pada tahun 1885, Sultan Johor Abu Bakar ibni Daing Ibrahim mengunjungi Vatican dan bertemu dengan Paus Leo XIII.



“Salah satu sebab kedatangan beliau (Abu Bakar) disambut baik di Vatican adalah kerana beliau pernah membenarkan chapel didirikan di Pontian, Johor dan juga Ayer Hitam, Kedah pada tahun 1867.


“Dan pada tahun 1882, beliau turut menghadiahkan sebidang tanah kepada seorang paderi untuk penubuhan gereja yang dibuka secara rasmi pada 29 Mei 1883,” ujarnya.


Selain dari ajaran agama Kristian, Faizal menyatakan bahawa ajaran agama Buddha turut disampaikan dalam Bahasa Melayu semasa zaman pra-Islam di Palembang di mana perkataan Allah juga digunakan.


“Tokoh-tokoh Buddha yang terkenal semasa zaman Sriwijaya mendakwah dan menyebarkan ajaran Buddha menggunakan Bahasa Melayu, yang pada ketika itu orang-orang Melayu di Palembang sudah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.


“Sebenarnya, ada lagi ajaran agama-agama lain selain Islam yang disebarkan menggunakan Bahasa Melayu dan menggunakan kalimah Allah dan hal ini telah dikaji oleh ramai sarjana, seperti Profesor Shaharir Mohamad Zain,” katanya.


Tambahnya, Sikh adalah antara ajaran agama yang menggunakan kalimah Allah dalam kitab suci mereka sejak akhir abad ke-19.

bottom of page