top of page

Sektor pelancongan Malaysia kekal berdaya tahan meski berdepan konflik Asia Barat

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

1 April 2026


PUTRAJAYA: Sektor pelancongan Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan konflik di Asia Barat, dengan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa meningkat 2.4 peratus pada bulan lalu.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bagi tempoh 1 hingga 26 Mac 2026, Malaysia merekodkan 2,835,724 ketibaan pelancong antarabangsa, meningkat daripada 2,769,305 dalam tempoh sama tahun lalu.


Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan kekuatan asas sektor pelancongan negara yang terus disokong oleh pasaran utama serantau dan antarabangsa.


“Rantau ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 2,093,096 ketibaan, meningkat 0.6 peratus tahun ke tahun.


“Asia Timur merekodkan 407,171 ketibaan, meningkat 12.8 peratus, dengan China mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 22.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, Asia Tengah mencatat 6,569 ketibaan, meningkat 21 peratus berbanding Mac tahun lalu, diikuti Oceania dengan 33,127 ketibaan (20.2 peratus), manakala Eropah mencatat 124,824 ketibaan, meningkat 5.2 peratus.


Bagaimanapun, Tiong mengakui ketibaan pelancong dari Timur Tengah menurun sebanyak 40.3 peratus kepada 4,398 pelawat susulan ketegangan geopolitik semasa.


Sementara itu, pasaran Afrika dan Asia Selatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 7.5 peratus dan 0.4 peratus.


“Walaupun terdapat penurunan dalam beberapa pasaran, sektor pelancongan negara kekal stabil dengan sokongan pertumbuhan kukuh dari Asia dan ASEAN,” katanya.


Sehubungan itu, Tiong berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memperkukuh strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran yang dikenal pasti berprestasi tinggi dan stabil.


Jelasnya, antara pasaran keutamaan termasuk China, Indonesia, Thailand, Jepun, Republik Korea, India, Bangladesh dan Vietnam, selain pasaran jarak jauh seperti Kazakhstan, Rusia, Perancis, Jerman dan Australia.


“Pada masa sama, Tourism Malaysia akan menyediakan laporan harian ketibaan pelancong serta trend pasaran bagi menyokong keputusan strategik secara masa nyata.


“Kementerian kini memantau rapi faktor tambang udara, kekerapan penerbangan dan tahap ketersambungan secara menyeluruh bagi memastikan industri kekal kompetitif,” katanya.


Tambah beliau, penekanan turut diberikan kepada pelancongan premium dan mesra Muslim, dengan fokus kepada peningkatan kualiti pengalaman pelancong serta sumbangan ekonomi yang lebih tinggi.


Dalam pada itu, katanya MOTAC juga akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi menangani cabaran semasa termasuk tekanan kos operasi, di samping menggalakkan perkongsian data bagi menyokong penggubalan dasar yang lebih berkesan.


Tiong turut menegaskan kepentingan semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara dan tidak terjejas oleh spekulasi atau sentimen yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.


“Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan sektor pelancongan negara kekal berdaya tahan, mampan dan terus berkembang dalam persekitaran global yang mencabar,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page