PERKESO sedia laksana Akta Pekerja Gig, fokus integrasi bersama penyedia platform
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

1 April 2026
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia sepenuhnya melaksanakan perlindungan sosial untuk pekerja gig menerusi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), termasuk melalui integrasi sistem berasaskan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bersama penyedia platform.
PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan, integrasi itu bertujuan membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik setiap kali transaksi pembayaran dibuat kepada pekerja gig, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan.
Sehubungan itu, PERKESO menggesa semua penyedia platform gig untuk turut bersedia dari segi sistem masing-masing agar proses penyepaduan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan pantas.
“Langkah ini selari dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang menetapkan kewajipan kepada semua penyedia platform untuk mendaftarkan pekerja gig di bawah mereka dengan PERKESO.
“Selain itu, penyedia platform yang belum berdaftar juga tetap tertakluk kepada tanggungjawab mendaftar dan memotong caruman bagi memastikan pekerja gig terus dilindungi,” menurut kenyataan itu.
Di bawah mekanisme baharu itu, caruman pada kadar 1.25 peratus akan dilaksanakan secara automatik ke atas setiap transaksi pembayaran pendapatan sebaik sahaja sesuatu tugasan diselesaikan.
Menurut PERKESO, pendekatan tersebut bukan sahaja memperluaskan liputan keselamatan sosial, malah memastikan pekerja gig mendapat perlindungan sewajarnya tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik PERKESO menunjukkan jumlah kemalangan dilaporkan di bawah skim LINDUNG Kendiri meningkat daripada 4,021 kes pada 2023 kepada 4,839 kes pada 2024 dan seterusnya 5,496 kes pada 2025.
Dalam tempoh sama, jumlah penerima faedah turut meningkat daripada 6,294 orang pada 2023, kepada 6,725 orang pada tahun berikutnya, sebelum mencecah 7,893 orang pada 2025.
“Statistik ini memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya aspek perlindungan sosial terhadap golongan ini diberikan perhatian yang lebih serius dan menyeluruh, selari dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini yang semakin dinamik dan fleksibel.
“Usaha memperkukuh perlindungan bukan sahaja penting untuk menjamin kebajikan pekerja gig ketika berdepan risiko, malah memastikan nasib waris mereka terus terbela sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan Akta 872 yang berkuat kuasa semalam menjadikan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi sektor gig secara komprehensif.
PERKESO menegaskan komitmennya untuk terus memperluaskan capaian perlindungan sosial kepada lebih ramai pekerja, termasuk golongan bekerja sendiri, selaras dengan aspirasi untuk memastikan tiada individu tercicir daripada jaringan keselamatan sosial negara.















Comments