Sektor perhutanan teras ekonomi, alam sekitar dan masa depan Sabah - Hajiji
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 3 min read

29 Julai 2029
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan sektor perhutanan adalah teras kepada ekonomi, alam sekitar dan masa depan Sabah.
Beliau berkata, di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri telah memasukkan perhutanan mampan ke dalam strategi pertumbuhan jangka panjang.
“Pada tahun 2022, kita memperkenalkan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan, satu pelan induk tempoh 15 tahun untuk memulihkan 400,000 hektar hutan terosot.
"Inisiatif ini bukan sekadar penanaman semula pokok, ia bertujuan menjamin bekalan kayu yang mampan, mewujudkan pekerjaan hijau, dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
“Untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, komitmen berterusan daripada pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) amat diperlukan, disamping kerjasama erat dengan Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Kemuncak Perhutanan Mampan ASEAN 2025 di Shangri-La Tanjung Aru Resort, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji menggesa semua pemegang lesen FMU agar memenuhi tanggungjawab mereka manakala Jabatan Perhutanan Sabah perlu memperkukuh peranannya dalam memantau kemajuan dan memastikan pelaksanaan kekal di landasan.
"Apabila direalisasikan sepenuhnya, pelan ini dijangka menyumbang lebih RM11 bilion kepada KDNK Sabah dan mewujudkan 40,000 pekerjaan di sepanjang rantaian nilai, katanya.
Hajiji berkata sektor kayu kekal sebagai sektor strategik bagi Sabah, dengan hasil royalti kayu meningkat kepada RM171 juta pada tahun 2024, dengan peningkatan RM16 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah eksport juga menunjukkan peningkatan berterusan, terutamanya ke Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan. Sasaran kita jelas iaitu mengurangkan kebergantungan kepada hutan semula jadi dan memperluas pengeluaran kayu secara mampan berasaskan ladang,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Sabah, sebagai pengeluar utama minyak sawit mentah (CPO) di Malaysia, menyumbang lebih 25 peratus daripada pengeluaran nasional, juga sedang menerajui kepimpinan dalam industri sawit.
“Pada 2024, pengeluaran CPO Malaysia mencecah 19.3 juta tan - jumlah tertinggi dalam tempoh enam tahun, dan permintaan global kekal kukuh. Kita memanfaatkan kelebihan ini untuk menarik pelaburan dalam pemprosesan hiliran, biofuel dan inovasi berasaskan sawit.
Kemudahan seperti Palm Oil Industrial Cluster di Lahad Datu dan Sipitang Oil and Gas Industrial Park telah meletakkan Sabah sebagai hab bagi pembuatan tambah nilai dan pembangunan biojisim, menjadikannya pemacu transformasi,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, Kelulusan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini telah membuka peluang kepada Sabah untuk menarik pelabur kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Landasan undang-undang ini memberi keyakinan yang diperlukan oleh pelabur. Tetapi peluang yang lebih besar terletak dalam kerjasama ASEAN. Untuk memperkembangkan ruang ini, kita memerlukan pasaran karbon serantau yang berfungsi.
“Negeri Sabah bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk menggerakkan agenda ini ke hadapan. Hutan kita sudah pun memainkan peranan mereka. Kini rangka kerja perlu seiring,” katanya.
Secara ringkas, Ketua Menteri menyatakan bahawa dengan undang-undang yang jelas, institusi yang kukuh dan Pelan Hala Tuju SMJ sebagai panduan pelaksanaan, Sabah berada dalam kedudukan terbaik untuk menyertai pasaran karbon.
“Hutan dan komuniti kita telah pun memainkan peranan penting dalam penyerapan karbon, perlindungan biodiversiti dan penggunaan mampan tetapi kita tidak mampu melakukannya sendiri.
“Kita mengalu-alukan mereka yang membawa modal, kepakaran dan kerjasama jangka panjang dari ASEAN dan seluruh dunia. Laburlah di Sabah. Anda sedang melabur dalam sebuah negeri yang stabil, strategik dan komited terhadap masa depan hijau,” katanya.
Sidang Kemuncak ini dianjurkan bersama oleh Institut Strategik KSI, Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN, dan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan dan pakar alam sekitar dari seluruh Asia Tenggara untuk menangani keperluan mendesak bagi kehutanan yang lestari dan ketahanan iklim.















Comments