Seluas 493.55 hektar tanah di Kg.Kiau selesai diukur sehingga Feb tahun ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Seluas 493.55 hektar tanah di Kg.Kiau selesai diukur sehingga Feb tahun ini

28 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di Kampung Kiau yang dilaksanakan sejak 2019 berjaya menyelesaikan kerja pengukuran tanah hak adat negeri seluas 493.55 hektar.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ia membabitkan sejumlah 1,209 lot tanah di kawasan Kg.Kiau.


“Untuk makluman Yang Berhormat Kadamaian (Datuk Ewon Benedick) Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah melaksanakan pengukuran kaedah PANTAS di Kampung Kiau sejak 2019 dan selesai pada Februari 2024, di mana sejumlah 1,209 lot dengan keluasan 493.55 hektar selesai dijalankan.


“Manakala, Pengukuran Program PANTAS di Kampung Tambatuon juga telah mendapat kelulusan dan pengukuran mula dijalankan awal April ini.


“Pengukuran dijangka selesai pada Disember tahun ini,” katanya dalam ucapan penggulungan, persidangan dewan undangan negeri di DUN Sabah, di sini, pada Rabu lalu.


Hajiji berkata, bagi Kampung Sayap, Kampung Terintidon, Kampung Lobong-Lobong, Kampung Kaung, Kampung Tombotuan, Kampung Malangkap dan Kampung Lasou, Jabatan Tanah dan Ukur akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan lapangan untuk menentukan sama ada pengukuran kaedah PANTAS boleh dilaksanakan atau sebaliknya.


Beliau berkata, sehingga April tahun ini, Jabatan Tanah dan Ukur menerima peruntukan berjumlah RM10 juta untuk Program Pengukuran PANTAS daripada Kerajaan Persekutuan.

bottom of page