Semakan semula peluasan SST ambil kira maklum balas rakyat, pemain industri
- nabalunews
- Jun 28, 2025
- 2 min read

27 Jun 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan tiga pindaan utama melibatkan semakan semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini.
Ia merangkumi Pengecualian Cukai Jualan ke atas buah-buahan import terpilih, ambang jualan tahunan lebih tinggi untuk meringankan beban cukai ke atas perniagaan kecil, dan Cukai Perkhidmatan tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada rakyat dan pemain industri sejak pengumuman peluasan skop SST pada 9 Jun lalu.
Katanya, sesi libat urus bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan turut diadakan semalam bagi mendapatkan pandangan akar umbi berhubung isu tersebut.
“Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengecualikan Cukai Jualan ke atas buah-buahan import terpilih iaitu epal, oren, limau mandarin dan kurma,” menurut kenyataan itu.
MOF turut menegaskan, kerajaan tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barang keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.
Ia termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran, telur serta ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada sejuk beku, sejuk dingin atau segar.
Bagi pindaan kedua, had nilai ambang jualan tahunan bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan serta perkhidmatan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Ini bermakna hanya perniagaan dengan jualan melebihi RM1 juta setahun akan dikenakan Cukai Perkhidmatan bagi perkhidmatan tersebut, sekali gus memberi manfaat pengecualian kepada lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” kata kenyataan itu.
Sementara itu, bagi pindaan ketiga, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan peluasan skop Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah, gunting rambut dan pendandan rambut.
MOF menyeru semua pihak supaya membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan kepada maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST.
MOF turut menasihatkan orang ramai dan peniaga agar mendapatkan maklumat berkaitan pelaksanaan SST menerusi saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Tamat















Comments