top of page

Semangat Komuniti dan Alumni Warnai Gotong-Royong MADANI di SK Kiau Kota Belud

  • nabalunews
  • Aug 4, 2025
  • 2 min read

4 Ogos 2025


KOTA BELUD: Kolaborasi Komuniti gabungan Kampung Kiau Taburi, Kiau Nuluh dan Kiau Bersatu berjaya mengadakan program gotong-royong di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau 1 dan kawasan bangunan Tamu Desa bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau.


Program yang diadakan Sabtu lalu itu menghimpunkan alumni pelbagai generasi bagi memperkukuh hubungan dengan bekas sekolah mereka.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod yang hadir mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Ewon dalam teks ucapannya berkata, alumni sekolah penting sebagai tulang belakang dalam menyumbang kepakaran dan motivasi kepada pihak sekolah.


Katanya, keterlibatan alumni dapat menjana kerjasama berterusan antara komuniti dan institusi pendidikan dalam pelbagai bentuk termasuk bantuan kewangan dan sokongan fizikal.


“Program gotong-royong Madani ini bukan saja mencantikkan persekitaran sekolah, malah menjadi simbol kesatuan komuniti dalam memastikan legasi pendidikan yang mampan dan inklusif.


“Ia juga menunjukkan peranan aktif masyarakat luar bandar dalam menyokong institusi pendidikan melalui pendekatan kolaboratif yang berteraskan nilai MADANI,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau 1, Dr. Losius Goliong turut menzahirkan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi Ewon terhadap persatuan sejak sekian lama.


Katanya, pelantikan SK Kiau 1 sebagai Sekolah Angkat MADANI adalah hasil usaha gigih Ewon selaku alumni sekolah tersebut.


Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kiau 1, Edward Kabun turut merakamkan ucapan terima kasih atas peruntukan sebanyak RM100,000 yang disalurkan oleh kementerian di bawah seliaan Ewon.


Dana tersebut akan dimanfaatkan untuk program pembangunan murid dan aktiviti kecemerlangan yang melibatkan penyertaan aktif para alumni dan ibu bapa.


Mesyuarat Agung kali ini turut menyaksikan Dr. Losius Goliong kekal sebagai Pengerusi Persatuan, sementara barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) lain berlaku sedikit rombakan bagi memperkukuh struktur organisasi dan menyuntik semangat baharu dalam pengurusan persatuan.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page