top of page

Sembilan peniaga dikenakan kompaun

nabalunews

 

Penguatkuasaan KPDN Sandakan ketika memeriksa salah sebuah premis di Sandakan hari ini.
Penguatkuasaan KPDN Sandakan ketika memeriksa salah sebuah premis di Sandakan hari ini.

23 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Sembilan peniaga dikenakan kompaun sebanyak RM2,400 dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan, hari ini (Khamis).


Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John dalam kenyataannya berkata, enam kompaun dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.


Katanya, semua peniaga terbabit didapati gagal mempamerkan tanda harga ke atas barang-barang yang dijual di premis perniagaan mereka.


“Sementara tiga lagi kes dikenakan mengikut Akta Timbang Dan Sukat (ATS) 1972 selepas pemeriksaan mendapati peniaga menggunakan alat untuk tujuan perdagangan yang tidak ditentusahkan.


“Selain memantau bekalan dan harga khususnya barang-barang kawalan menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina 2025 bagi memastikan semua peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN,” katanya.


Azdy berkata, ia termasuk penggunaan alat timbang yang telah ditentusahkan di bawah ATS 1972 serta pematuhan penandaan harga oleh peniaga di bawah AKHAP 2011.


Katanya, mengikut AKHAP 2011, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga barangan yang dijual boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali atau boleh dikompaun sehingga RM25,000. 


“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.


“Manakala untuk ATS 1972, iaitu menggunakan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan, boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” tegasnya.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azdy berkata, sepanjang operasi pemeriksaan berkenaan, pihaknya telah menjalankan 658 pemeriksaan yang melibatkan 430 pemeriksaan di bandar dan 228 pemeriksaan di luar bandar di daerah Sandakan.


Katanya, sebanyak 43 kes telah dihasilkan membabitkan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM206,276.35. 


“Sebagai tambahan, daripada 43 kes itu, katanya, 38 kes telah dikompaun dan nilai keseluruhan kompaun yang dikutip berjumlah RM7,700 manakala lima kes sedang dalam siasatan. 


"Dari segi aduan pula, dalam tempoh yang sama, sebanyak 18 aduan juga diterima oleh KPDN Sandakan dengan 66.7% atau 12 aduan telah selesai disiasat manakala  33.3% atau 6 aduan lagi sedang dalam siasatan,”katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page