top of page

Seorang lagi mangsa lemas Sandakan ditemui, seorang masih hilang

  • nabalunews
  • Mar 31
  • 1 min read

31 Mac 2025


SANDAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi insiden empat mangsa lemas di perairan berhampiran Dewan Masyarakat Bandar Jalan Costel Sandakan memasuki hari kedua, dengan seorang lagi mangsa ditemui malam tadi, manakala seorang kanak-kanak perempuan masih hilang.


Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 1:13 pagi, semalam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian, kira-kira 6 kilometer dari balai.


Komander Operasi, PBK II Chausli Sumsubin, berkata seorang wanita dewasa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Sandakan bagi mendapatkan rawatan.


Bagaimanapun, tiga lagi mangsa masih hilang ketika operasi bermula. Pada jam 7:08 pagi, semalam seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kira-kira 200 meter dari lokasi mereka dilaporkan jatuh.


Sementara itu, pada jam 10:03 malam seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun turut ditemui meninggal dunia di tebing laut.


Setakat ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun masih belum ditemui, dan operasi SAR diteruskan dengan radius pencarian sejauh empat kilometer dari lokasi insiden.


Operasi yang melibatkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditangguhkan pada jam 5:30 petang tadi dan akan disambung semula esok pagi.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page