top of page

Serbuan Dadah: Dua Tahanan, 0.47g Syabu Rampas

  • nabalunews
  • 5 days ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


6 Mac 2026


LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu berjaya mematahkan satu aktiviti penyalahgunaan dadah sekaligus menahan dua individu dalam serbuan di Kampung Unta, Jalan Bakawali, awal pagi semalam.


Dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Polis Lahad Datu telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berumur 44 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah tidak bernombor.


Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.47 gram, bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.


Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana mengambil dadah ke dalam badan. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.


Dalam operasi berasingan, pasukan yang sama turut memeriksa sebuah premis hiburan jenis bistro/kafe di daerah ini. Seramai tujuh pengunjung terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita telah diperiksa, dan kesemunya didapati negatif dadah menerusi ujian saringan air kencing.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa sebagai bukti komitmen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini.


"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan dadah dan akan memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page