Setiap negeri perlu laksana RUU Anti Lompat Parti bagi kestabilan politik: Mohd Shafie
- Wartawan Nabalu News
- Jul 27, 2022
- 2 min read

27 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, setiap negeri perlu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti secepat mungkin bagi menstabilkan politik negara.
Sehubungan itu katanya, kerjasama untuk melaksana RUU ini di peringkat negeri perlu agar RUU seumpama ini boleh dibentangkan dan diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini bukan semata-mata tentang Ahli Parlimen tetapi juga perlu dikuatkuasakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya semasa perbahasan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Shafie turut mencadangkan agar wakil rakyat yang melompat parti digantung satu penggal supaya tidak boleh bertanding pada pilihan raya berikutnya.
Beliau berkata, perkara itu perlu dimasukkan dalam Undang-Undang Anti Lompat Parti bagi mengawal individu agar tidak melompat parti.
“Dalam Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti tidak disebutkan tindakan terhadap wakil rakyat yang bertanding dan menang dibawah payung satu parti kemudian bertindak melompat.
“Apa yang kita bahaskan di mahkamah bukan kebebasan dia melompat, kita mahu memberitahu bahawa kontrak yang dilakukan adalah dengan partinya. Misalnya, parti mendapatkan duit RM100,000 untuknya maka, dia perlu bayar balik kepada parti, dia perlu pulangkan semula.
“Ini bukan persoalan duit tapi ia mengenai kerangka undang-undang yang komprehensif bagi membolehkan RUU ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, demi kepentingan negara,” katanya.
Mohd Shafie berkata, perlu ada pendekatan yang jelas agar RUU itu boleh menjadi titik permulaan bagi membendung krisis politik negara yang sudah tercemar.
“Dalam RUU yang ada, perlu ada tindakan yang berat bagi mengawal tindakan seorang individu yang melompat parti.
“Di Sabah, ada yang bertanding terkadang ada menerima imbuhan RM5 juta dan apabila bubar Dewan, ia dijadikan deposit tetap. Ia seperti satu perniagaan. Maka, saya cadangkan agar satu penggal YB yang melompat tidak boleh bertanding.
“Kita tidak mahu nanti, ada yang seperti YB Keningau yang sudah melompat macam-macam parti, sudah masuk tujuh parti. Kemana hala tuju kita,” katanya.
Comments