SHMMP: Peniaga di Labuan dikompaun gagal pamer tanda harga merah jambu
- nabalunews
- 37 minutes ago
- 1 min read

19 Februari 2026
LABUAN: Seorang peniaga hasil pertanian di sini dikenakan kompaun selepas didapati gagal mematuhi peraturan penandaan harga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina (TBC) 2026.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan harian yang dijalankan semalam di premis-premis perniagaan sekitar kawasan luar bandar sepanjang tempoh SHMMP berkuat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga terbabit gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal iaitu bawang putih yang termasuk dalam senarai barangan di bawah SHMMP TBC 2026.
“Barangan tersebut dipamerkan untuk jualan tanpa penandaan harga khas sebagaimana diwajibkan sepanjang tempoh skim dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut KPDN Labuan, pasukan penguat kuasa telah mengeluarkan kompaun di lokasi pemeriksaan selepas peniaga berkenaan mengakui kesalahan tersebut.
Katanya, perbuatan berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Kegagalan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan ketelusan urus niaga sepanjang musim perayaan.
“Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, individu yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.
KPDN Labuan menegaskan akan terus mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan serta melindungi kepentingan pengguna sepanjang pelaksanaan SHMMP.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan boleh menghubungi Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, portal eaduan.kpdn.gov.my, WhatsApp 019-848 8000 atau Pejabat KPDN WP Labuan di talian 087-423152.














