SIDANG PARLIMEN: MADIUS MINTA KAD PENGENALAN SABAH DIGANTI
- nabalunews
- Nov 3, 2020
- 2 min read

3 Nov 2020
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta agar kad pengenalan sedia ada diganti dengan yang baharu.
Beliau berkata, setiap pemegang kad pengenalan hendaklah memohon kembali kad pengenalan baharu dengan menggunakan surat beranak yang sahih ataupun dokumen sah dari segi undang-undang.
“Ini berdasarkan keterangan Jabar Khan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tiga tahun dan dua tahun Tahanan Kediaman Terhad di Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti pada 26 Februari 2007.
“Dalam keterangannya, Jabar Khan mengakui bahawa beliau terlibat secara langsung dalam proses mengeluarkan kad pengenalan biru kepada para Pendatang Tanpa Izin (PTI) sebagai Setiausaha Task Force Jawatankuasa Pengundi Luar Umno Sabah pada 1991.
“Jabar memaklumkan sebanyak 400,000 keping kad pengenalan biru telah diberikan kepada PTI dan 82,000 daripadanya telah dimasukkan dalam senarai pengundi di 30 kawasan DUN di Sabah bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri yang diterajui Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu,” kata Madius.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul sidang Parlimen, Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.
Madius dalam usul yang tersenarai pada urutan ke-16 itu turut menyatakan bahawa seorang bernama Hassnar Ebrahim turut membuat pengakuan terbuka di mahkamah, surat bertulis kepada MD Mutalib dan juga dalam pelbagai ceramah bahawa pada ketika beliau ditangkap terdapat sekitar 300,000 PTI yang mendapat kad pengenalan.
“Hassnar merupakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua bulan dan menjalani Tahanan Kediaman Terhad selama dua tahun kerana terlibat secara langsung di dalam proses mengeluarkan kad pengenalan projek kepada para pendatang asing Indonesia dan Filipina sejak tahun 1976.
“Menurut Hassnar, terdapat lebih sejuta orang asing diberikan kerakyatan Malaysia melalui pintu belakang dan daripada jumlah tersebut sudah melahirkan lebih satu juta generasi terapung di negara ini,” jelas Madius.
Tambah Madius, kadar pertumbuhan penduduk Sabah yang luar biasa juga adalah kesan daripada perbuatan khianat sepertimana keterangan dan pengakuan Hassnar dan Jabar yang didalangi oleh pemimpin-pemimpin Umno.
“Hakikat ini juga menunjukkan satu pengkhianatan dan jenayah telah berlaku yang melibatkan seluruh Jabatan Pendaftaran Negara dan juga kepimpinan negara,” kata Madius dengan memberi bukti peningkatan mendadak penduduk Sabah berbanding penduduk Sarawak dari tahun 1951 – 2010.
Sehubungan itu, beliau meminta Dewan Rakyat agar menegakkan kebenaran dan keadilan untuk mempertimbangkan Usul Kewarganegaraan dengan meminta kesemua mereka yang disebut Hassnar dan Jabar dibawa ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan.















Comments