Sindiket Pengeluaran Pas Lawatan IMM13, dua Pegawai agensi penguat kuasa direman SPRM di Sandakan, Tawau
- nabalunews
- Jul 31, 2024
- 1 min read

31 Julai 2024
Dua pegawai berkenaan ditahan reman masing-masing di Sandakan dan Tawau ketika hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan.
Perintah reman selama enam hari sehingga 6 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Nur Faezah Jafry terhadap suspek pertama yang berusia 50-an setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan pagi tadi.
Manakala Majistret Don Stiwin Malanjum mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 7 Ogos ini ke atas suspek kedua yang berusia 30-an setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Tawau.
Menurut sumber, terdahulu kedua-dua suspek lelaki telah ditahan sekitar jam 5.30 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Sandakan dan Tawau.
“Tangkapan terbaharu ini adalah susulan daripada tangkapan dua beranak berkaitan kes yang sama, Jumaat lalu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2022 dan ia melibatkan nilai rasuah kira-kira RM20,000.
“Kedua-dua suspek juga dipercayai melakukan perbuatan itu bersama orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya kejayaan ini adalah hasil risikan SPRM Sabah.
Comments