top of page

Sindiket Pinjaman Tidak Wujud Kini Aktif di Media Sosial Mangsa Diminta Segera Buat Laporan

  • nabalunews
  • Feb 25
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


25 Februari 2026


RANAU: Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud yang kini aktif menawarkan khidmat pinjaman mudah di platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp dan Telegram.


Modus operandi sindiket ini adalah dengan memerangkap individu yang memerlukan bantuan kewangan melalui tawaran kelulusan segera dan proses yang dipermudahkan, sebelum mengarahkan mangsa membuat bayaran pendahuluan atas pelbagai alasan.


Menurut perkongsian dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau melalui halaman Facebook rasmi mereka, sindiket ini biasanya menyamar sebagai wakil syarikat kewangan, koperasi atau institusi perbankan yang sah bagi meyakinkan mangsa. Setelah mangsa menunjukkan minat, penipu akan mengemukakan pelbagai alasan untuk meminta bayaran pendahuluan termasuk yuran pemprosesan, duti setem, atau insurans pinjaman. Selepas mangsa membuat bayaran, sindiket akan terus memutuskan komunikasi dan menghilangkan diri tanpa menyalurkan sebarang wang pinjaman.


Statistik dari daerah Ranau menunjukkan situasi yang membimbangkan, di mana IPD Ranau merekodkan 80 peratus daripada aduan yang diterima adalah berkaitan dengan pinjaman tidak wujud, dengan kerugian besar membabitkan penipuan pelaburan pinjaman tidak wujud melalui Facebook. Peringatan tegas diberikan kepada orang ramai bahawa pemberi pinjaman berlesen tidak akan meminta sebarang bayaran pendahuluan sebelum wang pinjaman disalurkan kepada peminjam.


Sebagai langkah perlindungan, orang ramai dinasihatkan mengamalkan konsep 3S dengan menyoal kesahihan maklumat serta status pemberi pinjaman sebelum meneruskan urusan, selain menyekat diri daripada berkongsi sebarang maklumat peribadi dan butiran perbankan. Orang ramai turut digalakkan untuk menyebarkan maklumat mengenai modus operandi ini kepada pihak berkuasa dan kenalan bagi mencegah lebih banyak individu menjadi mangsa.


Bagi mereka yang menjadi mangsa, tindakan segera perlu diambil dengan menghubungi hotline bank untuk menghentikan urus niaga mencurigakan serta menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk bantuan segera menyekat aliran wang. Laporan polis juga perlu dibuat di balai terdekat untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil. Untuk pertanyaan atau nasihat, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-762222.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page