top of page

Sistem PRIME tingkat siap siaga hadapi bencana, kecemasan

  • nabalunews
  • Jun 16
  • 1 min read

16 Jun 2025


CYBERJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk berdepan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, ia merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak menggunakan teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron yang befungsi sebagai sokongan interim komunikasi.


“Sistem ini membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan serta penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan bersama agensi berkaitan, termasuk di kawasan terpencil atau terjejas liputan, selaras dengan slogannya ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’.


“Ia juga berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya ketika berlaku gangguan atau kekangan pada rangkaian komunikasi sedia ada,” menurut kenyataan itu.


Menurut SKMM, pelaksanaan PRIME juga dilihat mampu memperkukuh kerjasama antara pihaknya dan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus mempertingkat kecekapan tindak balas serta ketahanan komunikasi negara.


Selain itu katanya, sistem berkenaan turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang memudahkan penyampaian perkhidmatan Internet serta penganjuran aktiviti komuniti secara terus di lokasi sasaran.


“Inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi negara yang lebih inklusif dan responsif serta menjadi pemangkin kepada transformasi digital masyarakat, seiring aspirasi Malaysia Madani,” katanya.


SKMM memaklumkan, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini dengan unit pertama yang dilancarkan akan ditempatkan di Ibu Pejabat SKMM bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia.


Manakala unit kedua dan ketiga, katanya, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan akan ditempatkan masing-masing di pejabat SKMM Sabah dan Sarawak.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page