Sita Jentera, Lori Dalam Operasi Serbuan Pasir Haram
- nabalunews
- 15 minutes ago
- 1 min read

9 Mac 2026
KOTA BELUD: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menyita sebuah eskavator dan lori dalam operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pengorekan serta pengambilan pasir darat secara haram di Kampung Pintasan, di sini, Kota Belud pada 5 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Sr. Chua Ming Ling @ Alan, berkata operasi itu dilaksanakan selepas pasukan penguatkuasa menjalankan risikan dan intipan selama kira-kira seminggu.
Katanya, ia susulan maklumat mengenai kegiatan pengambilan pasir secara haram di kawasan berkenaan.

“Pasukan penguatkuasa jabatan melancarkan serbuan pada kira-kira jam 9.45 pagi di lokasi yang dikenal pasti. Hasil serbuan, sebuah ekskavator jenis CAT dan lori Nissan 13 tan yang membawa muatan pasir darat disita.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana individu yang berada di lokasi kejadian sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat berhubung operasi berkenaan dan Kertas Siasatan (IP) akan dibuka oleh Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa bagi melengkapkan siasatan.

“Tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68).
“Kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama antara Pasukan Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin Masyarakat Kota Belud serta maklumat daripada orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, Chua berkata, JTU akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram di seluruh Sabah.

“Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang melanggar undang-undang di bawah Ordinan Tanah Sabah,” katanya.











