- nabalunews
Skim Perubatan MADANI bantu lebih 123,000 pesakit golongan B40
31 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Seramai 123,572 pesakit telah mendapat manfaat daripada Skim Perubatan MADANI (SPM) sejak dilancarkan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, mendedahkan bahawa jumlah ini melibatkan 151,199 rawatan dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM14.3 juta bagi tempoh April hingga Jun 2024.
Rawatan yang ditawarkan di bawah SPM meliputi pelbagai jenis penyakit ringan seperti demam, selsema, cirit-birit, sakit kepala dan kecederaan kecil.
"Kesemua pesakit 100 peratus adalah dari kalangan B40 kerana peratusan penggunaan Skim Perubatan MADANI oleh golongan B40 dan M40 sepanjang suku kedua 2024 adalah daripada kalangan golongan B40 iaitu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan isi rumah mereka sahaja.
"Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan bagi memberi subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu sahaja," katanya bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim.
Pada peringkat awal, pelaksanaan SPM tertumpu di 10 kawasan di tujuh negeri. Namun, melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan, kerajaan berhasrat untuk meluaskan skim ini ke seluruh negara.
"Walaupun peruntukan sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi, kerajaan akan berusaha mencari jalan untuk meningkatkan jumlah peruntukan atau mencari kaedah yang lebih baik untuk memastikan SPM dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan B40.
"Kemungkinan untuk melanjutkan SPM ke tahun-tahun berikutnya dan memperluasnya kepada golongan M40 akan bergantung kepada keadaan ekonomi negara.
"Sekiranya kita mempunyai pendapatan yang stabil, ekonomi yang sangat baik, pendapatan negara dapat bertambah,” jelas beliau.
Comments