SME Corp. Malaysia peruntuk RM230,000 biayai audit pensijilan NMMB
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

17 Ogos 2026
KUALA LUMPUR: SME Corp. Malaysia memperuntukkan RM230,000 bagi membiayai kos audit pensijilan National Mark of Malaysian Brand (NMMB) untuk 40 syarikat terpilih melibatkan permohonan bagi tahun 2025 dan 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pensijilan itu merupakan antara usaha memperkukuh jenama tempatan supaya lebih berdaya saing dan diyakini di pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, jenama Malaysia perlu mencerminkan nilai dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada kelebihan harga murah untuk bersaing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
“Malaysian Brand harus mencerminkan nilai, bukan sekadar harga. Kita tidak lagi mempunyai kelebihan untuk bersaing semata-mata atas harga murah.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, Malaysia juga mempunyai kelebihan sebagai sebuah negara yang selamat dan dipercayai. Produk dan jenama Malaysia perlu membawa keyakinan dari segi keselamatan, kebersihan dan kesihatan.
“Selain itu, kita perlu bergerak daripada imitasi kepada inovasi. Kita mesti sentiasa berada di hadapan dengan idea dan inovasi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program BrandQuest 2026 dan Majlis Apresiasi NMMB, di sini, pada Isnin.
Sejak diperkenalkan, sebanyak 180 syarikat Malaysia telah menerima pengiktirafan NMMB, termasuk sembilan syarikat yang menerima Malaysian Brand Heritage Award pada majlis berkenaan.
Anugerah itu diberikan kepada syarikat yang berjaya mengekalkan pensijilan NMMB selama 15 tahun atau lebih.
Sembilan syarikat berkenaan ialah Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Fire Fighter Industry Sdn. Bhd., Goodnite Sdn. Bhd., Halagel (M) Sdn. Bhd., K.H.H. Double Lion Fruit Juice Manufacturing Sdn. Bhd., Tomei Signature Sdn. Bhd., Passive Fire Protection Sdn. Bhd., Sydney Cake House Sdn. Bhd. dan Seasonings Specialties Sdn. Bhd.
Sementara itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Dato’ Teng Chang Khim berkata, usaha memperkukuh jenama tempatan perlu bergerak daripada sekadar konsep “Made in Malaysia” kepada “Chosen from Malaysia”.
“Kita mahu membina jenama yang bukan sahaja dihasilkan di Malaysia, tetapi dicari, dipilih dan dipercayai oleh pengguna di seluruh dunia.
“Malaysian Brand bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah merupakan sebahagian daripada ekosistem yang menghubungkan penjenamaan dengan akses pasaran, pembangunan perniagaan dan pengantarabangsaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy pula berkata, BrandQuest 2026 dan Program Pensijilan NMMB menyediakan platform kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan keupayaan penjenamaan serta mengangkat jenama Malaysia supaya lebih diyakini.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 2009, tanda dagangan Malaysian Brand di bawah Program NMMB telah didaftarkan di 12 negara iaitu United Kingdom, Itali, Australia, New Zealand, Kanada, Turkiye, Korea Selatan, Georgia, Hungary, Brunei, Indonesia dan Kemboja.
Menurutnya, perkembangan itu membantu memperkukuh pengiktirafan jenama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Program BrandQuest 2026 bertemakan “The Power of Branding: Elevating Malaysian Enterprises to Global Standards” dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC).
Seramai 350 peserta daripada pelbagai sektor industri menyertai siri kelas induk dan sesi perkongsian ilmu bersama tokoh industri yang membincangkan strategi penjenamaan, inovasi, pengalaman membangunkan perniagaan serta pendekatan meningkatkan penglibatan pelanggan dan mengukuhkan kedudukan jenama di pasaran.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tuan Haji Rahman Mohd Din; Pengerusi DDEC, Dato’ Haji Aznel Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Ts. Md Adha Rahmat dan Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Wan Mohalina Wan Mohammad.















Comments