SME Corp meterai MoU dengan UMS, bangunkan PMKS di Sabah
- Wartawan Nabalu News
- May 12, 2024
- 1 min read

12 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: SME Corp Malaysia, satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memeterai perjanjian dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
MoU ini adalah untuk melaksanakan inisiatif kemampanan untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), di Sabah.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, pada majlis Penutupan Program TUBE-X Zon Sabah di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, di sini, hari ini.
SME Corp diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy dan UMS pula diwakili oleh Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Disaksikan oleh Ewon, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad dan Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok.
Ewon berkata, MoU dengan UMS ini merintis jalan bagi kerjasama melaksanakan inisiatif kemampanan untuk PMKS di Sabah.
“Ini merangkumi pembinaan kapasiti dan promosi amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), membangunkan ekosistem kredit karbon di Sabah serta menjalankan aktiviti berkaitan pembangunan modal insan dan penyelidikan.
“Dengan adanya persefahaman strategik ini, saya yakin lebih banyak program pembangunan usahawan dapat dilaksanakan di Sabah, terutamanya untuk usahawan belia Bumiputera,” katanya.
Comments