SMK Tambulion terima Van Koperasi, peruntukan sempena Sambutan Jubli Perak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SMK Tambulion terima Van Koperasi, peruntukan sempena Sambutan Jubli Perak


Ewon ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis itu.

18 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyampaikan Van Koperasi bernilai RM140,000 kepada SMK Tambulion sempena Sambutan Jubli Perak sekolah itu, di sini, hari ini.


Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berharap sumbangan Van Koperasi itu akan meningkaktan lagi perkhidmatan koperasi sekolah berkenaan seterusnya mewujudkan pendapatan baharu koperasi sekolah.

“Pada tahun 2023, SKM telah meluluskan sebanyak RM270,000 bantuan pembangunan perniagaan kepada tiga buah koperasi di DUN Kadamaian.


“Pada hari ini kita akan menyaksikan penyerahan sebuah Van kepada Koperasi SMK Tambulion melalui Bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) bernila RM140,000 bagi membolehkan koperasi menjalankan aktiviti pengangkutan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, di Dewan Stalion SMK Tambulion, di sini, hari ini.


Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada peruntukan khas menteri untuk menaiktaraf kemudahan dewan sekolah tersebut, termasuk pendawaian elektrik, perolehan mobile aircond dan kelengkapan lain.


Ewon berkata, kementeriannya menerusi SKM telah melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lepas dan menerima sambutan amat memberangsangkan.


“Melalui program-program yang dijalankan, masyarakat kini menyedari kepentingan berkoperasi dan menjadikan platform koperasi bukan sahaja tempat berniaga dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi diperlusakan sebagai penyatuan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.


Ewon menyerahkan replika kunciVan Koperasi Sekolah kepada Nasdin.

Mengenai jumlah koperasi di Sabah, beliau berkata setakat ini jumlah koperasi berdaftar di negeri ini sebanyak 1,707 buah dengan keanggotaan seramai 350,368 orang.


“Manakala syer dan yuran terkumpul pula adalah sebanyak RM232 juta, aset terkumpul bernilai RM915.25 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM569.71 juta,” katanya.


“Daripada bilangan koperasi tersebut sebanyak 230 koperasi sekolah yang aktif dengan sumbangan keseluruhan turnover sebanyak RM20.15 juta.


“Saya berharap koperasi sekolah akan terus menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara,” katanya.


Ewon berkata, KUSKOP akan memastikan usaha-usaha berterusan dilaksanakan secara strategik bagi memastikan sektor koperasi terus kompetitif dan kekal lestari.


Ewon melancarkan Sambutan Jubli Perak ke-25 SMK Tambulion.

“Saya juga menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menggalakkan pelajar sekolah lebih aktif dalam koperasi sekolah kerana selain mendapat pulangan keuntungan, ia juga satu platform mempelajari integriti dan kemahiran keusahawanan yang boleh membantu perkembangan pelajar.


“Ini termasuk mempelajari budaya dan strategi keusahawanan seperti perolehan modal, peluang perniagaan strategik dan bagaimana memperoleh keuntungan,” katanya.


Katanya lagi, koperasi sekolah juga perlu menjalankan transformasi dengan tidak lagi hanya menjual alat tulis semata-mata sebaliknya mewujudkan pelbagai aktiviti perniagaan lain yang lebih merangsang pertumbuhan ekonomi ahli-ahlinya,” katanya.


Turut hadir Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan Pengetua SMK Tambulion Nasdin Pumpunga.


bottom of page