top of page

Sokong SURS. Utamakan Pampasan Wajar Dan Manfaat Untuk Komuniti Sembulan

  • nabalunews
  • Oct 8
  • 2 min read

ree

8 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R. Indang menyatakan sokongan penuh secara prinsip terhadap pelaksanaan Skim Pembaharuan Bandar Sembulan (SURS).


Beliau bagaimanapun menegaskan, apa yang menjadi keutamaannya ialah memastikan pelaksanaan yang adil, telus dan berpaksikan kepentingan komuniti setempat.


Katanya, sebarang proses pengambilan atau pembangunan semula perlu menjamin penyelesaian yang wajar serta pampasan yang adil kepada penduduk terlibat.


“Keutamaannya ialah penyelesaian yang wajar dan pampasan yang adil selain sebarang pengambilan mesti disertai pilihan yang jelas kepada penduduk.


“Ia sama ada hak kembali mendiami (right-to-return) atau penempatan semula yang dipersetujui serta bantuan peralihan yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dennison berkata, ketika ini masih terdapat jurang antara tuntutan penduduk dan tawaran pihak pelaksana.


Oleh itu katanya, beliau menekankan keperluan agar peranan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai penyelaras utama diperkukuh bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar dan mencapai titik persetujuan yang munasabah berdasarkan penilaian bebas serta garis masa yang jelas.


Sehubungan itu, Dennison turut menggariskan empat prinsip utama pelaksanaan SURS iaitu Piagam Penduduk DBKK, merangkumi kriteria kelayakan, opsyen pampasan dan perumahan, hak kembali mendiami, serta jadual kerja yang disokong oleh penilaian bebas.


Selain itu katanya, pihak berkuasa perlu memastikan tiada perobohan sebelum persetujuan, penyediaan rumah sementara, elaun pindah dan perlindungan terhadap sumber pendapatan peniaga kecil serta nelayan mesti dijamin terlebih dahulu.


“Begitu juga dengan manfaat setempat iaitu pembangunan yang dilaksanakan perlu menguntungkan komuniti tempatan melalui penyediaan perumahan mampu milik bandar, peluang pekerjaan, kontrak kecil dan lot niaga mikro yang ditawarkan lebih awal.


“Keempat ialah perlunya pemantauan telus dengan mewujudkan Panel Ombudsman yang melibatkan DBKK, wakil penduduk, profesional dan NGO untuk membuat laporan suku tahunan serta mengurus aduan dengan terbuka,” tegasnya.


Dennison berkata, beliau berharap pelaksanaan SURS akan menjadi model pembangunan bandar yang inklusif dan berperikemanusiaan, sekaligus memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus kemajuan di bandaraya Kota Kinabalu.


“Pembaharuan sepatutnya membawa kemajuan bersama, rumah yang selamat, ruang awam yang lebih baik dan rezeki yang terjamin untuk keluarga di Sembulan,” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page