top of page

SPANS Terima 500,000 Permohonan Jawatan Bagi Tahun 2025

nabalunews
Jun 18
1 min read

18 Jun 2026


KOTA KINABALU : Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) menerima kira-kira 500,000 permohonan bagi pengisian jawatan pada tahun 2025.


Pengerusi SPANS, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, jumlah itu melibatkan dua siri pengambilan yang mana siri pertama menerima kira-kira 230,000 permohonan manakala siri kedua menerima lebih 150,000 permohonan.

“Apabila kita mengiklankan jawatan-jawatan kosong, bilangan permohonan yang diterima amat menggalakkan. Secara keseluruhan, jumlah permohonan yang diterima hampir 500,000.


"Manakala dari segi lantikan kita melihat kepada keperluan. Jabatan-jabatan atau kementerian-kementerian akan kemukakan kepada SPANS jawatan kosong yang perlu diisi dan SPANS akan iklankan," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.


Menurut Sukarti, kunjungan berkenaan merupakan kunjungan tahunan yang bertujuan untuk menyerahkan laporan tahunan aktiviti SPANS sepanjang tahun lalu.


Sementara itu, beliau memaklumkan SPANS turut terlibat dalam pelbagai program antaranya menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam seluruh Malaysia pada tahun lepas.


"SPANS juga dijadual menghadiri pertemuan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan negeri-negeri lain pada Julai ini bagi berbincang dan berkongsi pengalaman tentang pengurusan sumber manusia di negeri masing-masing.


"Selain itu, ahli-ahli SPANS juga aktif ke daerah-daerah bagi menjalankan sesi temu duga untuk pengisian jawatan yang diiklankan dari semasa ke semasa," ujarnya.


Hadir sama, ahli-ahli SPANS, Datuk Awang Jami @ Awang Shamsi, Datuk Janet Chee, Datuk Idrus Shafie, Datuk Iman Ali, Datuk Patrick Tan dan Ariffin Gadait./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page