SPR adakan mesyuarat khas 16 Oktober bincang tarikh PRN Sabah
- nabalunews
- Oct 8
- 1 min read

8 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini untuk membincangkan tarikh-tarikh penting dan perkara-perkara lain berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, semalam berhubung pembubaran Dewan Undangan Sabah Ke-16.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Isnin lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN sekali gus mengakhiri mandat kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk penggal ini.
PRN itu bakal menjadi pentas utama bagi parti-parti di Sabah termasuk GRS, Warisan, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk menentukan hala tuju politik negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.


















Comments