top of page

SPR PAMER PERMOHONAN PEMILIH BAHARU DI 914 LOKASI, SELAMA 14 HARI, BERMULA 28 OKT

  • nabalunews
  • Oct 27, 2020
  • 2 min read

ree

27 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) selama 14 hari bermula 28 Oktober hingga 10 November ini, di 914 tempat pameran, seluruh negara.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, RDPT bagi Suku Tahun Ketiga 2020 (ST3/2020), mengandungi 308,451 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 41,688 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 Julai hingga 30 September 2020.

“Semakan RDPT ST3/2020 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan iaitu hadir ke 914 tempat pameran RDPT di seluruh negara dan menbimbas Kod QR, atau melayari portal rasmi pejabat Pilihan Raya Negeri, atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST3/2020 yang disediakan,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ikmalrudin berkata, bagi pameran RDPT ST3/2020 itu, SPR tidak meletakkan salinan buku RDPT di lokasi pameran, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod QR RDPT bagi bahagian pilihan raya parlimen yang berkenaan sahaja.

Beliau berkata, kaedah itu bagi mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

“Semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2020 dan sekiranya pemohon mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2020, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya.

Katanya lagi, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di dalam RDPT ST3/2020 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

“Borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat ketika hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

“Semasa tempoh pameran RDPT ST3/2020 itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan, atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002,” katanya.

Ikmalrudin berkata, sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2020 boleh menghubungi talian utama SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri dan pemohon juga boleh melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page