SPRM Sabah Syor Sembilan Penambahbaikan Tatakelola MUIS
- nabalunews
- Nov 2
- 1 min read

2 November 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membentangkan sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Cadangan yang disampaikan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah itu dilihat bagi memperkukuh sistem pengurusan agihan zakat di negeri ini.
Antara syor utama ialah penambahbaikan terhadap Perkara 5.3.1 dan Perkara 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) dengan memperincikan maksud “individu” sebagai kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah, manakala “organisasi” merujuk kepada Ejen Pungutan Zakat.

Selain itu, SPRM Sabah turut mencadangkan agar bahagian yang terlibat secara langsung dalam pengurusan zakat seperti pungutan, agihan dan urusan kewangan turut dimasukkan dengan lebih jelas dalam prosedur berkenaan.
Mohd Fuad berkata, antara cadangan lain termasuk menetapkan had nilai perbelanjaan yang munasabah dan memastikan setiap perbelanjaan dimaklumkan serta mendapat pertimbangan daripada Majlis Tertinggi MUIS sebelum dilaksanakan.
“SPRM Sabah telah mengenal pasti sembilan syor penambahbaikan tatakelola yang melibatkan amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan agihan wang zakat dalam manual prosedur baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali menyambut baik cadangan tersebut dan menyatakan komitmen pihaknya untuk melaksanakan tindakan susulan bagi menambah baik kelemahan yang dikenal pasti.
“Saya amat berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana membantu MUIS dalam usaha menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya selepas menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang diadakan di pejabat MUIS pada Jumaat lalu.














