top of page

SPRM Syor Perkukuh Tatakelola JTU, SMM

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min (empat dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo (dua dari kiri) memegang dokumen yang ditandatangani sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib (tiga dari kiri) di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min (empat dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo (dua dari kiri) memegang dokumen yang ditandatangani sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib (tiga dari kiri) di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

24 Oktober 2025


PUTRAJAYA: Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentangkan sebanyak lima syor penambahbaikan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) serta Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) yang terlibat secara langsung dalam proses permohonan lesen mencarigali (Prospecting License - PL) di Sabah.


Syor itu dikemukakan selepas BPT mengenalpasti lima kelemahan iaitu satu di JTU dan empat di SMM setelah penyiasatan tatakelola dijalankan bagi meneliti amalan, sistem serta tatacara kerja berhubung proses permohonan PL.


Antara lima kelemahan dikenalpasti termasuk tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap dan jelas berhubung proses permohonan PL serta pemohon perlu kemukakan Surat Minat (Letter Of Interest - LOI) sama ada kepada SMM atau Pejabat Ketua Menteri Sabah terlebih dahulu dalam proses memohon PL.

Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo (kiri sekali) menandatangani dokumen sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib (kanan sekali) di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo (kiri sekali) menandatangani dokumen sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib (kanan sekali) di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Kelemahan lain seperti permohonan yang tidak melepasi syarat ditetapkan semasa penilaian oleh Jawatankuasa Pengurusan - Analisis Ketekunan Wajar (DDA MC) masih dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SMM di mana Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi serta tiada SOP yang khusus untuk proses permohonan lanjutan PL.


Dalam sesi pembentangan yang dijalankan di Wisma Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu, Sabah semalam, antara lima syor penambahbaikan itu ialah menyedia dan mendokumentasikan SOP tatacara pelaksanaan proses permohonan PL dengan jelas serta terperinci.


Empat cadangan lain termasuk meminda SOP bagi permohonan PL dengan menetapkan LOI dikemukakan terus kepada SMM dan mengemaskini SOP DDA berhubung tindakan lanjut yang perlu diambil pemohon bagi permohonan yang ditolak atau perlu diproses semula.


Selain itu, BPT SPRM turut mencadangkan agar SOP khusus berkaitan permohonan lanjutan PL serta mewujudkan sistem portal SMM yang mengandungi latar belakang SMM, fungsi, peranan dan cara permohonan PL.


Isu tatakelola ini timbul apabila proses permohonan dan kelulusan mendapatkan PL di Sabah yang diuruskan oleh SMM dan JTU dikatakan menggunakan kuasa Ketua Menteri Sabah yang juga merangkap sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah di SMM.


Sementara itu, dalam sesi pembentangan itu, secara dasarnya, kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan kepada BPT SPRM menerusi perkongsian dapatan dan cadangan penambahbaikan yang telah dibentangkan.


Kedua-dua pihak juga telah menyatakan persetujuan melalui Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang telah ditandatangani oleh Pengarah JTU, Datuk Sr Bernard Liew Chiu Min dan Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim Nuo serta disaksikan oleh Timbalan Pengarah BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.


Turut hadir Penasihat Integriti Menteri Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso, wakil daripada Pejabat Setiausaha Bumi Sabah, pengurusan kanan JTU dan SMM.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page