SPRM Tahan dua pesara kerajaan
- nabalunews
- Sep 10
- 1 min read

10 September 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pesara sebuah agensi kerajaan negeri selepas disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu.
Ia bagi mendapatkan pembayaran projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan berjumlah kira-kira RM6,000.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah Cawangan Lahad Datu.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sekitar tahun 2021 semasa bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai telah mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi pembayaran projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan berjumlah kira-kira RM6,000.
“Kedua-dua suspek membuat tuntutan berkenaan sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.


















Comments