Suasana Sibuk di Pekarangan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu
- nabalunews
- 23 hours ago
- 2 min read

10 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Suasana pekarangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) hari ini, dipenuhi petugas media dan orang awam untuk mengikuti perkembangan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang kini menjadi perhatian seluruh negara.
Orang ramai dan petugas media rasmi berpusu-pusu hadir ke kawasan hadapan Jabatan Forensik Patologi (HQE) seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung kes berkenaan.
Tinjauan mendapati sebahagian besar orang awam turut membuat siaran langsung di media sosial dari lokasi, selain merakam suasana sekitar untuk dikongsi di platform masing-masing.

Malah ketika peguam keluarga mangsa, Halim Ismail membuat empat sidang media berasingan di lokasi, pertanyaan bukan hanya dari petugas media sebaliknya terpaksa melayan soalan yang turut diajukan orang awam.
Ada antara mereka yang cuba mendapatkan maklumat secara terus, malah ada juga yang menyuarakan sokongan moral kepada keluarga mangsa.
Keadaan di lokasi kekal sibuk sepanjang hari, dengan keluar masuk pihak berkuasa, kakitangan hospital dan individu berkaitan siasatan kes.

Petugas keselamatan hospital turut dilihat terpaksa mengawal aliran keluar masuk orang ramai di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, sokongan kepada kes berkenaan bukan hanya di pekarangan HQE, malah orang awam yang tidak hadir di lokasi turut menghantar sumbangan minuman dan makanan untuk orang ramai di lokasi.
Malah ada juga orang awam yang bertungkus-lumus memastikan keadaan persekitaran pekarangan HQE kekal bersih dengan mengedarkan plastik sampah dan membantu membuang sampah.
Sementara itu, Halim berkata, pihaknya komited untuk memastikan semua proses siasatan dijalankan dengan telus dan adil.
Katanya, keluarga mangsa hanya menuntut agar pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya demi mencari keadilan untuk mangsa.
Kes Zara Qairina menarik perhatian masyarakat kerana melibatkan persoalan berhubung punca kematian serta desakan pelbagai pihak agar siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengesahkan telah menerima laporan siasatan awal berhubung kes tersebut.
Sehingga kini, orang ramai terus menunggu perkembangan seterusnya daripada pihak berkuasa, manakala keluarga mangsa kekal berharap agar kebenaran dapat didedahkan demi menegakkan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina.
Comments