Sukan MINDET perkukuh semangat kekitaan, kerjasama antara agensi
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

8 Ogos 2026
KOTA KINABALU: Kejohanan Sukan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah menjadi wadah memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kementerian.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, selain itu ia juga dapat memperkukuh kerjasama antara warga kementerian dan agensi.
Penganjuran kejohanan itu dicadangkan selepas beliau dilantik menerajui MINDET, khususnya susulan pertambahan portfolio dan agensi di bawah kementerian berkenaan.

“Saya telah mencadangkan agar Sukan MINDET diadakan bagi memupuk semangat kekitaan dan kekeluargaan MINDET serta kerjasama antara agensi yang lebih baik,” katanya ketika melancarkan Kejohanan Sukan Badminton MINDET di Kompleks Yayasan Sabah, di sini, hari ini.
Kejohanan Sukan MINDET dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai acara sukan, bukan sahaja badminton tetapi juga bola sepak, bola tampar, pickleball, golf, dart, boling, ping pong, karom, pool, olahraga dan tarik tali.

Ewon berkata, setiap agensi dan jabatan di bawah MINDET turut bergilir-gilir menjadi hos kepada acara-acara yang dipertandingkan.
Dalam ucapan ringkasnya, Ewon turut menjadikan pertandingan akhir Piala Thomas 1992 sebagai contoh bagaimana sukan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia.
“Saya berharap melalui kejohanan ini, MINDET di bawah kepimpinan saya terus bersatu dan bekerjasama, bermula daripada Kejohanan Sukan MINDET ini, seterusnya memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah dalam perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menghargai penyertaan semua warga MINDET serta jawatankuasa dan urusetia yang menjayakan kejohanan sukan itu.











