top of page

Sultan Brunei adakan Lawatan Negara ke Malaysia bermula esok

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

24 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia selama empat hari bermula esok, atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan itu bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-26 antara Malaysia dan Brunei.


Sultan Hassanal Bolkiah akan diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei semasa lawatan negara itu.


“Sultan Hassanal Bolkiah akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Selasa, diikuti Kunjungan Mengadap ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


"Satu majlis santapan negara bagi meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi Brunei akan dihoskan oleh Sultan Ibrahim," menurut kenyataan itu.


Semasa lawatan berkenaan, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Rundingan Pimpinan Tahunan ke-26 pada Rabu.


Menurut kementerian itu, rundingan berkenaan merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang memberi peluang bagi kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama.


Selain itu, untuk membincangkan isu-isu dua hala tertunggak serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.


“Lawatan Negara dan rundingan tahunan ini mencerminkan hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, selain memperkukuh usaha bersama dan komitmen dalam mempertingkatkan kerjasama strategik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.


Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion.


Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah RM3.02 bilion, dengan eksport berjumlah RM2.18 bilion dan import RM0.84 bilion.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page