Sumbangan Bakul Makanan Bantu Ringankan Beban Mangsa Banjir Kampung Binanjar Baru
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

6 Mac 2026
PAITAN: Penduduk Kampung Binanjar Baru, di sini, yang menjadi mangsa banjir, baru-baru ini, terus mendapat perhatian apabila menerima bantuan daripada pelbagai pihak.
Bantuan terbaru disampaikan Ketua CLC UPKO Sugut, Juli Apang yang turun padang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 33 keluarga mangsa banjir yang diketuai wakil penduduk Jonetry Pingut.
Semua barangan berkenaan disumbangkan oleh Tantaru Tagap Adventure (TTA) yang diketuai Stella Malise.

Juli yang juga Presiden Pertubuhan Hijau Lestari Sabah merangkap Pengerusi Penganjur program berkenaan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Katanya, sebelum ini bantuan daripada pelbagai pihak telah pun disalurkan kepada mangsa banjir melalui pusat agihan yang ditempatkan di KDCA Paitan, yang dijadikan sebagai hub pengagihan bantuan.

“Namun begitu, masih terdapat sebahagian mangsa yang belum menerima bantuan kerana kekangan pengangkutan untuk datang mengambil bekalan di pusat berkenaan.
“Difahamkan ada keluarga yang belum menerima bantuan kerana mereka tidak mempunyai kenderaan untuk datang ke pusat agihan di KDCA Paitan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau bersama pasukan sukarelawan mengambil inisiatif untuk menghantar sendiri bantuan bakul makanan terus ke kawasan terjejas bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Bagaimanapun katanya, usaha menyalurkan bantuan berdepan cabaran berikutan memerlukan dana untuk bayaran sewa lori bagi penghantaran dari Penampang ke Paitan yang mencecah RM700 untuk satu perjalanan.

“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kami terus komited untuk membantu mangsa banjir dan ia akan diteruskan demi memastikan kebajikan penduduk terjejas sentiasa terbela.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah tampil menghulurkan bantuan dan berharap lebih banyak pihak akan terus berganding bahu membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan,” katanya.

Rombongan misi menghantar bantuan turut disertai Pengerusi Persatuan Tombonuo Kota Kinabalu, Kogos@ Marius Samain; Ketua Penerangan CLC UPKO Sugut, Jenny Lisa Ehmelda dan Ketua TTA Adventure, Stella Malise.















Comments