top of page
nabalunews

Sumbangan ehsan kepada 15 keluarga terjejas projek naik taraf jalan di Kampung Sentosa



25 Oktober 2024


TAWAU: Seramai 15 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Sentosa dalam DUN Kukusan yang terjejas dalam Projek Menaiktaraf Jalan Utara mendapat sumbangan ehsan RM1,000 setiap seorang daripada Wakil Rakyat kawasan itu, hari ini.


Sumbangan disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Kukusan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal di Pejabat ADUN Kukusan.


Menurutnya, beliau mengambil inisiatif memberikan sumbangan ehsan itu menerusi peruntukkan ADUN kerana menyedari beban yang ditanggung rakyatnya yang terpaksa berpindah.


“Mereka diberikan tempoh sehingga November depan oleh pemaju projek untuk berpindah kerana kawasan rumah mereka terlibat dengan projek pelebaran jalan yang sedang giat dilaksanakan.


“Projek berkenaan yang menelan kos lebih RM200 juta dimulakan sejak tahun lepas dan dijadual siap menjelang 2026,”katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan tersebut.


Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka semasa proses perpindahan selepas hampir atau lebih 30 tahun tinggal di kampung tersebut yang merupakan kawasan setinggan.


Mengulas lanjut, Rina berkata, pemilihan penerima sumbangan ADUN Kukusan berkenaan dilaksanakan menerusi proses banci sejak tahun lepas lagi dan berdasarkan bil elektrik sebagai pemilik rumah yang sah.


Dalam masa yang sama, beliau akan memberikan keutamaan kepada 15 KIR tersebut untuk membina Rumah Mesra SMJ (Sabah Maju Jaya) bagi kuota DUN Kukusan, selain memohon penempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada.

Comments


bottom of page