Sumbangan Touchpoint raikan kelahiran lima bayi di Kadamaian
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

16 Februari 2026
KOTA BELUD: Pemaju Mukim, Marcus Logiau daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian telah menyampaikan sumbangan Touchpoint sempena kelahiran lima bayi di Kampung Melangkap Neriou, baru-baru ini.
Beliau hadir mewakili Timbalan Ketua Menteri III merangkap ADUN N11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat ADUN Kadamaian.
Sumbangan berkenaan diraikan bagi menyambut kelahiran Ives Andreas Nicklose, Albero bin Addy, Benzyon Arlo Yanson, Jalvroairon Acachio Jaron dan Leonathan Galvinsky Benyamin. Program Touchpoint merupakan inisiatif berterusan yang dilaksanakan bagi meringankan beban keluarga serta menghargai kehadiran cahaya mata baharu dalam komuniti setempat.
Menurut Marcus, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat kawasan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira latar belakang. Katanya, program seumpama ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Sementara itu, wakil penerima, Bed Jikol Sidin, merakamkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian. Beliau berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu persiapan awal keluarga dalam menyambut kelahiran bayi serta membuktikan bahawa kebajikan penduduk Kampung Melangkap Neriou sentiasa menjadi keutamaan.














