Suspek Tersenarai Individu Dikehendaki
- nabalunews
- Sep 26
- 1 min read

26 September 2025
TUARAN: Polis mengesahkan lelaki yang ditahan dalam kejadian di pusat komersil di sini, tersenarai sebagai orang dikehendaki atas beberapa kes jenayah.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, suspek ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Katanya, sebaik suspek dikesan berada di dalam kenderaannya, pasukan cuba melakukan pemeriksaan,
“Bagaimanapun, suspek bertindak mengundurkan kenderaannya dengan laju sehingga melanggar kereta polis berulang kali.
“Pasukan operasi terus bertindak memecahkan cermin depan penumpang kiri kereta suspek sebelum melakukan tangkapan,”’katanya dalam kenyataan media, semalam.
Noraidin berkata, semasa proses tangkapan, berlaku pergelutan antara pasukan polis dengan suspek.
“Polis terpaksa menggunakan kekerasan minima semasa melaksanakan tangkapan dan tiada sebarang tembakan dilepaskan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi hotline polis di talian 088-794313 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan lelaki berkenaan ditahan selepas berlaku situasi tegang dengan polis.
Suspek yang disyaki terbabit dalam kes mencuri kabel itu sempat dirakam orang awam sebelum video berkenaan tersebar luas di media sosial.


















Comments