Suzie Salapan Kukuhkan Perpaduan dan Keanggotaan Baharu UPKO di Kota Marudu
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

20 Oktober 2025
KOTA MARUDU: Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Bandau bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu, Suzie Salapan, menghadiri Program Santai Sempena Pembentukan Cawangan UPKO Kampung Manggaris 3, di sini semalam. Kehadiran beliau bertujuan memperkukuh jalinan perpaduan serta mengukuhkan struktur organisasi parti di peringkat akar umbi.
Dalam ucapan beliau, Suzie merakamkan penghargaan kepada Ketua Cawangan, Hendry Gunaru, yang juga tuan rumah program tersebut, atas sambutan mesra serta dedikasi dalam memastikan kejayaan penganjuran program berkenaan. Beliau turut berpeluang beramah mesra dengan ahli-ahli cawangan serta mendengar secara langsung pelbagai isu dan keperluan masyarakat setempat.
Pada majlis tersebut, Suzie turut menerima sebanyak 40 borang keahlian baharu UPKO, menandakan keyakinan berterusan rakyat terhadap perjuangan dan hala tuju parti. Beliau menyifatkan penyertaan baharu ini sebagai bukti bahawa perjuangan UPKO masih mendapat tempat di hati rakyat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau.

“Penyertaan ahli baharu ini mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap usaha UPKO dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang. Ia juga menunjukkan bahawa semangat perjuangan parti masih subur di peringkat akar umbi,” ujar beliau.
Sementara itu, Hendry menegaskan bahawa pembentukan cawangan baharu di Kampung Manggaris 3 akan memperkukuh lagi gerak kerja parti di peringkat kampung, seterusnya memastikan UPKO kekal sebagai wadah perjuangan rakyat dan perpaduan masyarakat majmuk.
Sehari sebelumnya, pada 18 Oktober, Suzie turut menghadiri sesi santai bersama masyarakat Cina di sekitar Kampung Batu 6, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongon, Kota Marudu, atas jemputan Brandon Lee.
Pertemuan tersebut yang berlangsung dalam suasana harmoni turut menyaksikan penyerahan 19 borang keahlian baharu UPKO daripada wakil masyarakat Cina di kawasan berkenaan. Suzie menyatakan penghargaan kepada mereka atas kesediaan menyertai keluarga besar UPKO dan menyumbang kepada perjuangan parti.
“Penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat ini membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan perpaduan yang dibawa oleh UPKO terus diterima serta dihargai. Diharapkan hubungan silaturahim ini akan terus kukuh demi kemajuan bersama,” katanya.
Kehadiran Suzie di kedua-dua program tersebut memperlihatkan komitmen beliau dan UPKO dalam memperkukuh perpaduan rakyat serta memperluas sokongan parti di Kota Marudu, sejajar dengan aspirasi untuk membina masyarakat yang inklusif dan progresif di Sabah.
Comments