Syaratkan pemilikan ekuiti Kerajaan Sabah dalam pelaburan asing di Sabah - Ewon

18 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berharap Kerajaan Negeri melalui syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan memiliki ekuiti dalam semua pelaburan tersebut sekurang-kurangnya 30 peratus.
Beliau berkata, ini akan mengujudkan sense of ownership dengan matlamat menjana hasil yang lebih besar sesuai dengan halatuju Kerajaan Negeri.
“Saya juga mahu merekodkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sabah yang mensyaratkan pemilikan ekuiti pelaburan Kerajaan Negeri kepada pelaburan pelaburan asing di sini termasuk tidak lagi memberikan pemilikan tanah, tetapi hanya pajakan kepada para pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Belanjawan Negeri Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kerajaan negeri perlu memberi tumpuan besar kepada proses pengambilan Sabah Electricity susulan penyerahan kuasa kawal selia tenaga dan gas kepada Kerajaan Sabah.
“Dengan keupayaan penjanaan hasil yang besar, saya percaya Kerajaan Sabah boleh merancang bagaimana untuk mengambil-alih sepenuhnya saham yang dimiliki oleh Tenaga Nasional di SESB dan seterusnya memperkasakan Sabah Electricity dengan loji-loji kuasa tenaga yang dimiliki sendiri, bukan hanya menjadi pembeli kepada tenaga yang dikeluarkan oleh Independent Power Plant (IPP),” katanya.
Mengenai pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan, Ewon mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM124.7 juta dalam Belanjawan ini untuk pembangunan sektor itu.
“Saya amat yakin melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah, peruntukan ini dapat dioptimumkan dan diperkasakan dengan Belanjawan MADANI 2025 yang menyediakan RM40 bilion untuk pelbagai skim bantuan dan jaminan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar Kerajaan Sabah dapat menyediakan sebuah makmal di Sabah bagi menguji produk-produk keluaran Sabah yang memohon untuk persijilan halal.
“Saya difahamkan ketika ini, produk-produk tersebut perlu dihantar ke makmal di Semenanjung untuk proses ujian dan sudah tentu ianya akan menyumbang kepada lanjutan masa memproses persijilan halal.
“Sekiranya makmal ini dapat dibina di Sabah, bukan sahaja masa menguji dan memproses persijilan halal itu akan lebih mudah, tetapi usahawan-usahawan yang telah mendapat persijilan halal ini akan mempunyai akses kepada banyak skim bantuan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian di Persekutuan termasuk di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.
Ewon turut mengalu-alukan pemberian bantuan one-off sebanyak RM5,000 yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Kerajaan Sabah kepada peniaga-
peniaga kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan yang sah.
“Saya anticipate pemberian ini akan melonjakkan pemilikan lesen perniagaan di kalangan usahawan mikro yang berjual bukan hanya di tepi jalan tetapi juga di tamu-tamu komuniti.
“Saya mencadangkan kepada Kerajaan agar mensyaratkan sebahagian daripada pemberian ini digunakan untuk mencarum di PERKESO bagi memastikan usahawan-usahawan mikro ini mendapat perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah sedang aktif melaksanakan Program Pendataan dan Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil (Data PPK).
Katanya, ia adalah atas inisiatif gabungan persatuan itu sendiri termasuk menyediakan sebuah aplikasi untuk tujuan pendataan dan membantu penjaja-penjaja ini memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Saya mencadangkan kementerian penyelaras bantuan one-off ini dapat menjemput Gabungan Persatuan ini untuk memberi taklimat inisiatif mereka sepertimana mereka telah bentangkan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah dan Majlis Perundingan
Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan,” katanya.
תגובות